Friday, March 12, 2010

Kecohh..Umno Perlis Berpecah...PRU 13,Hashim Jasin MB Perlis...

Tun Dr Mahatir Mohamad pernah bergurau mengatakan Perlis terlalu kecil. Sebab itulah tak boleh nak buat lapangan terbang di negeri itu, bimbang Boeing 747 terlajak ke Siam sewaktu mendarat!

Perlis memang kecil. Pilihlah mana-mana tempat di negeri itu, nak ke Kangar hanya memakan masa tidak sampai 30 minit. Kalau Menteri Besar Perlis nak buat mesyuarat, dia perlukan tak sampai setengah jam untuk panggil orang politik datang. Kalau tak datang juga, ertinya memang mereka tak mahu hadir mesyuarat tu. Begitulah kecilnya Perlis.

Perlis bukan saja kecil. Pemimpin UMNO di negeri itu juga berjiwa kecil. Itulah yang terlintas di fikiran saya apabila seorang pemimpin UMNO negeri itu berkata dia akan mengedarkan 10,000 borang kajian untuk menilai kepimpinan Menteri Besar Perlis, Dato’ Md Isa Sabu selama dua tahun. Saya tak tahu adakah dia juga pernah buat kajian mengenai kepimpinan Dato’ Seri Shahidan Kassim sebelum tu.

Sebagai seorang penyelidik, saya mengalu-alukan kajian. Bagaimanapun bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik Perlis, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina. Kesemua ini adalah rentetan perebutan kuasa politik dalam UMNO Perlis.

Pemimpin UMNO Perlis masih belum faham mesej rakyat yang menyampah dengan politik cantas-mencatas. Nampaknya mereka belum mahu berubah. Walaupun presiden parti itu Dato’ Seri Najib Tun Razak berusaha gigih memenangi hati rakyat melalui pelbagai inisiatif, sesetengah pemimpin UMNO Perlis masih sibuk menjatuhkan satu sama lain.
Ia seperti cerita tiga budak hitam yang ingin menjadi putih. Oleh kerana seorang tidak dapat menjadi putih, biarlah kesemuanya terus menjadi hitam!

Di Perlis, PAS hanya mempunyai dua kerusi DUN iaitu Simpang Empat dan Sanglang. Mungkin kerana itulah agaknya sesetengah pemimpin UMNO Perlis tak rasa bersalah menebuk lubang kapal. Mungkin mereka percaya kapal besar itu tak akan karam. Mereka tidak mahu belajar dengan apa yang berlaku di Selangor. Sebelum ini, Barisan Nasional menguasai semua kerusi DUN kecuali dua yang dimiliki oleh DAP. Lihatlah apa yang berlaku dalam PRU12 lalu.

Baru-baru ini saya ke Sanglang; cuba mencari Ustaz Hashim Jasin (gambar), ADUN kawasan itu yang juga Pesuruhjaya PAS negeri Perlis. Dia selalu minum kopi di situ. Tak jumpa. Kalau jumpa, saya nak beritahu dia cepat-cepat tempah kot untuk angkat sumpah Menteri Besar dalam PRU13 nanti. Dengan cantas-mencantas yang tak berhenti dalam UMNO Perlis, eloklah juga Ustaz Hashim mula bayangkan siapakah yang akan menjadi Exco Kerajaan Negeri yang baru selepas pilihanraya umum nanti.

Apabila dah jadi Menteri Besar nanti, saya nak cadangkan kepada Ustaz Hashim untuk berbincang dengan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abd Razak. Ya, saya setuju dengan Dr Mahathir, Perlis terlalu kecil kalau nak buat lapangan terbang baru. Tetapi, kalau nak panjangkan landasan lapangan terbang Kepala Batas sampai ke Pauh, saya rasa boleh kot.
Apa nak susah, pada waktu itu Perlis dah ditadbirkan oleh PAS!

No comments:

Post a Comment