Pages

Wednesday, March 10, 2010

Kelantan Akan Adakan Solat Hajat Mohon Diturunkan Hujan


-Malaysian Insider-
KOTA BARU, 10 Mac — Kerajaan PAS Kelantan akan mengadakan solat hajat perdana mohon diturun hujan memandangkan cuaca semasa yang agak panas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberitahu perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan majlis mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri hari ini.

“Keadaan cuaca sekarang ini amat panas, jadi pada saat-saat begini perlu bagi kita mohon diturunkan hujan.

“Bahkan dalam Islam ada doa untuk tujuan itu, umat Islam dianjurkan sembahyang sunat dan minta supaya diturunkan hujan ketika cuaca panas,” kata beliau sambil mengalu-alukan orang ramai hadir pada majlis tersebut.

Majlis tersebut akan diadakan pada pagi Jumaat ini di Medan Ilmu.

Medan Ilmu merupakan tempat Menteri Besar itu menyampaikan kuliah mingguannya yang diadakan setiap pagi Jumaat.

Sementara itu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS terkilan dan melahirkan rasa kesal tindakan seorang bapa yang sanggup mengahwinkan seorang anak perempuannya berusia 11 tahun dengan seorang lelaki dari jemaah ‘tabligh’ berusia 41 tahun.

“Perkara-perkara begini tidak sepatutnya berlaku. Lebih-lebih lagi kepada orang Melayu yang mengaku Islam.

“Umur 11 tahun ni mentah lagi, budak sangat… budak tak tahu apa perkara lagi.

“Inilah kelemahan sikap segelintir dari kita. Kadang-kadang sanggup jadikan sunnah Rasul sebagai sandaran semata-mata untuk hawa nafsu,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan perempuan berkenaan Siti Nur Zubaidah Hussin yang berasal dari Dabong telah dinikahkan dengan ‘nikah isyarat’ tanpa kehadirannya di madrasah berhampiran Masjid Besar Machang.

Difahamkan Hussin merestui perkahwinan anaknya itu selepas diperdaya lelaki terbabit kononnya perbuatan itu mengikut sunah Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment