Pages

Saturday, March 6, 2010

Kerajaan Umum Skim Biasiswa Untuk Pelajar Cemerlang Mara - Shafie

BANGI, 6 Mac (Bernama) -- Para pelajar yang mendapat pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak perlu lagi membayar balik pinjaman itu sekiranya berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 pada setiap semester, berkuatkuasa tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini merupakan satu dorongan kepada pelajar-pelajar Mara supaya mereka lebih cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi.

"Ini merupakan salah satu program insentif peringkat Mara khusus untuk pelajar-pelajar yang berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Kementerian Bersama Pelajar-Pelajar Tajaan Mara 2010 di sini hari Sabtu.

Katanya, sepanjang tahun 2009, lebih kurang 10 pelajar Mara berjaya memperolehi keputusan CGPA 4.0.

Menurut beliau, insentif ini terbuka kepada semua pelajar tajaan Mara sama ada dalam atau luar negeri.

Katanya Mara juga telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Saintis Cemerlang (PSM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melahirkan graduan bertaraf profesional berkelulusan ijazah tertinggi sebelum berumur 30 tahun.

Usaha ini merangkumi peringkat persediaan, peringkat Ijazah Pertama, Sarjana Sains seterusnya Doktor Falsafah.

"Kita mahu lihat jurusan-jurusan yang mereka ceburi ini haruslah didasarkan dengan keperluan negara kita dan juga sektor-sektor yang selaras dengan Model Ekonomi Baru yang kita nak capai.

"Ini termasuk beberapa sektor yang menjadi tumpuan seperti biotek atau petrokimia dan ini adalah antara kelulusan-kelulusan yang perlu kita dorongkan," katanya kepada pemberita.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abd Jabar Che Nai, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Muhamad.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment