Friday, March 5, 2010

mana hang tau,, sembang boleh la,,,

Pembangkang Tiada Harapan Di Sabah, Kata Ali Rustam

KOTA KINABALU, 6 Mac (Bernama) -- Parti-parti pembangkang tidak mempunyai harapan untuk menguasai Sabah, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, Sabah sudah melalui banyak pengalaman diperintah parti pembangkang dan pengalaman itu boleh dijadikan panduan kepada negeri-negeri lain, terutama negeri yang dikuasai pembangkang.

"Sabah ada pengalaman lama. Pengalaman di Sabah amat baik untuk negeri-negeri di Semenanjung yang dapat melihat kerenah, sepak terajang, kuku besi pembangkang yang tak mengutamakan rakyat dalam pembangunan negeri, bahkan banyak menimbulkan ketegangan yang tak tentu pasal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di sini pada Sabtu.

Mohd Ali juga berkata Sabah semakin maju sejak ditadbir semula oleh Barisan Nasional (BN), terutamanya di bawah pimpinan Musa.

"Saya nampak Sabah dah semakin maju dan akan terus maju... Saya rasa ini (kemajuan) tanda larangan kepada pembangkang," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Ali, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata UMNO semakin kuat di Sabah, terutama dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama.

"Saya berharap pemimpin-pemimpin UMNO kedua-dua negeri dapat bertukar-tukar lawatan dan berkongsi pengalaman bagi meningkatkan kerjasama untuk bersama-sama berjuang membela rakyat secara berterusan," katanya.

Mengenai Sukan Malaysia Ke-13 (Sukma Ke-13) di Melaka, beliau berkata semua kontinjen boleh mula melihat dan menyesuaikan diri dengan kemudahan sukan di negeri tuan rumah itu.

Dengan kemudahan sukan yang ada untuk Sukma Ke-13, beliau berharap lebih ramai atlet negara dapat dilahirkan melalui temasya sukan itu di Melaka.

Beliau juga berkata Sukma Ke-13, yang akan diadakan selama 10 hari mulai 10 Jun ini, dijangka dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 12 Jun, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan majlis penutup pada 19 Jun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment