Wednesday, March 10, 2010

Najib Mahu Parti Politik Berasaskan Kaum Cina Tangani Masalah Dalamannya

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa parti politik berasaskan kaum Cina agar menangani masalah dalamannya dengan segera kerana masyarakat Cina memerlukan kepimpinan mereka.

Tanpa menamakan secara khusus mengenai parti berkenaan, beliau berkata: "Jika anda ada masalah, sila selesaikan masalah anda dengan segera.

"Saya tidak merujuk kepada mana-mana parti politik, tetapi buat dengan segera, kita tidak mahu membuang masa, masyarakat Cina perlukan kepimpinan anda," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) di sini pada Rabu malam yang disambut dengan ketawa daripada hadirin.

Turut hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan dan bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik.

Najib berkata beliau berharap bahawa Tahun Harimau ini boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat.

"Marilah kita jadikan Malaysia sebuah negara hebat mulai tahun ini. Jadikan ini Tahun Harimau yang makmur dan harmoni sebenar-benarnya yang akan memanfaatkan kepada semua di bawah konsep 1Malaysia" kata beliau.

Pada majlis ini, anak Najib, Norashman Razak menunjukkan bakatnya dengan menyanyikan sebuah lagu Mandarin dan kemudian berduet dengan ibunya Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendendangkan lagu yang sama.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Dr Chua berkata Najib sentiasa membayangkan kepada MCA untuk menyelesaikan masalahnya dan timbalan presiden itu juga menyatakan bahawa pemilihan baru merupakan penyelesaian terbaik bagi MCA memulihkan konfliknya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan itu, Dr Chua berkata beliau belum memikirkan lagi.

Liow dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, yang bersetuju dengan nasihat Najib, bertegas untuk menangani masalah parti itu dengan segera agar MCA akan muncul dengan lebih kukuh.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment