Pages

Tuesday, March 9, 2010

Solat hajat terhadap Mohsin Sabtu ini





Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata, solat hajat tujuh malam bagi memohon hukuman Allah terhadap ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli yang keluar parti akan dimulakan pada Sabtu ini.

Menurut Ahmad, tindakan itu terpaksa diambil kerana selepas tamat tempoh tujuh hari yang diberikan kepadanya - supaya kembali kepada Pakatan Rakyat atau mengisytiharkan sokongan terbuka kepada gabuangan itu - gagal ditunaikan.

Malah, tambah Ahmad, Mohsin juga sudah seminggu tidak dapat dihubungi melalui talian telefon bimbitnya.

“Saya hari ini pun ada SMS pada beliau. Tetapi tidak berjawab,” katanya menjelaskan tindakan lanjutnya setelah membuat amaran tersebut pada Khamis lalu - sehari selepas Mohsin mengiystiharkan keluar parti dan menjadi wakil bebas.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad bagaimanapun berkata, beliau masih boleh mempertimbangkan membatalkan program tersebut walaupun dihubungi Mohsin di saat-saat akhir.

“Kalau nanti beliau SMS kata setuju (dengan syarat saya), tak perlulah buat, Tetapi macam saya kata dulu, beliau mesti iystiharkan (pendiriannya) pada orang ramai melalui media,” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS negeri.

Ahmad berkata, solat hajat itu akan diadakan di pusat pengajian agama yang diasaskannya di Balai Kuliah Tasawwur Islam di berdekatan Semanggol, Perak.

“Di tempat itulah beliau (Mohsin) mula-mula diperkenalkan kepada pengundi,” katanya.

Setakat ini, Ahmad menjangkakan sekurang-kurangnya 600 muridnya akan turut turut serta dalam solat tersebut.

Penyokong PAS dari kawasan berdekatan Bagan Serai, seperti Kuala Kangsar dan Parit Buntar, juga akan turut menyertainya, tambah beliau.

Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi Mohsin setakat ini masih belum berhasil.

No comments:

Post a Comment