Pages

Sunday, March 7, 2010

Statement merendah diri,,,

Selangor merendah diri


PENYERANG Selangor, Amirulhadi melonjak kegembiraan selepas menjaringkan gol untuk membantu pasukannya menang 4-0 ke atas Kedah di Stadium Shah Alam kelmarin.


BIARPUN selesa selaku pendahulu liga, Selangor masih enggan mendabik dada.

Kelmarin, skuad Gergasi Merah itu membelasah Kedah 4-0 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Shah Alam.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor untuk terus kekal menerajui carta liga dengan mengumpul 22 mata, lima mata meninggalkan penghuni tangga kedua Terengganu.

Bagi jurulatih Selangor, K. Devan, beliau tidak mahu barisan kendaliannya itu terus dibuai mimpi indah berikutan kejayaan tersebut sambil menganggap masih banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi.

"Saya akan mengingatkan pemain-pemain saya agar tidak mudah leka dan sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan yang bakal dihadapi nanti.

"Kita perlu mengekalkan rentak kemenangan ini sekiranya mahu bergelar juara liga pada penghujung musim ini.

"Pemain-pemain harus ingat yang mereka masih ada lagi tanggungjawab dan cabaran lebih besar selepas ini," jelas Devan ketika di temui Kosmo! sejurus tamat perlawanan kelmarin.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Devan menganggap yang skuad kendaliannya itu memang berhak untuk menang.

"Perlawanan hari ini (kelmarin) adalah persembahan terbaik skuad Selangor sejak bermulanya kempen saingan liga musim ini.

"Ternyata komitmen dan kombinasi yang dipamerkan para pemain begitu baik sekali sehingga membolehkan kami menguasai keseluruhan perlawanan.

"Selain itu, hantaran-hantaran kemas yang dilakukan pemain- pemain saya telah mencipta ruang buat kami untuk menjaringkan gol dan hasilnya kami berjaya memperoleh empat gol pada perlawanan tadi (kelmarin)," katanya.

Skuad Gergasi Merah itu akan bertemu Pos Malaysia di Stadium Selayang malam esok untuk suku akhir pertama Piala FA sebelum meneruskan saingan Liga Super bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment