Pages

Wednesday, April 28, 2010

Geng kecik,, mcm2 la

Polis Tumpas Geng Kecik Di Brickfields

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Polis menumpaskan 'Geng Kecik' yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Brickfields di sini sejak enam bulan lepas dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan itu dua hari lepas.

Kesemua lelaki tempatan berusia antara 20 tahun dan 24 tahun itu diberkas di sebuah restoran pada pukul 1 pagi di Brickfields pada Selasa lalu, dua hari selepas lima anggota kumpulan itu menyamun sepasang kekasih di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Sambanthan di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid Rabu berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu mempunyai seorang ketua yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan membunuh.

Katanya dalam kejadian samun 24 April itu, seorang wanita berusia 27 tahun membuat aduan polis bahawa dia dan teman lelakinya disamun oleh lima lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ketika berada dalam sebuah bilik hotel pada pukul 6 pagi.

Mangsa kehilangan sejumlah wang dan dua telefon bimbit, katanya.

Wan Abdul Bari berkata ada di antara suspek itu terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan dan juga pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

Siasatan lanjut mendapati modus operandi kumpulan itu adalah menyamun individu yang berjalan berseorangan, mabuk dan mereka yang berehat sekitar Brickfields sejak enam bulan lepas, katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Wan Abdul Bari berkata polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah membabitkan pelbagai barangan bernilai lebih RM40,000 di sebuah kondominium di Taman Desa, di sini, minggu lepas.

Mangsa, yang merupakan seorang pekerja bahagian teknologi maklumat di sebuah syarikat, menyedari kejadian itu setelah mendapati pintu rumahnya telah terbuka dan keadaan berselerak ketika pulang selepas berurusan di luar.

Wan Abdul Bari berkata hasil siasatan awal dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kondominium terbabit, mengesan dua buah kereta, masing-masing jenis Chevrolet Optra dan Proton Saga dilihat telah meninggalkan kawasan terbabit pada hari kejadian iaitu pada 23 April lalu.

Setelah menjejaki nombor pendaftaran Proton Saga terbabit, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 32 tahun di sebuah rumah di kawasan Ayer Panas, Setapak, tengah hari semalam.

Hasil tangkapan suspek itu membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek berumur 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Laksamana, Batu Caves dan menemui pelbagai barangan samun di dalam rumah terbabit, katanya.

Menurutnya antara barangan yang dirampas adalah pemain camera digital, komputer riba, televisyen, telefon bimbit, walkie talkie, jam tangan dan beg tangan.

Katanya kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment