Pages

Thursday, January 28, 2010

Sosilawati: Kahwin berkali-kali memenatkan




Usahawan kosmetik terkemuka Datuk Sosilawati Lawiya, yang didakwa ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada malam menjelang tahun baru, ekoran peristiwa pahit dialaminya membuat kesimpulan – “kahwin berkali-kali ini memenatkan.

Maksudnya, penat dan lelah dari sudut emosi dan spiritual,” kata bekas isteri Nash, penyanyi kumpulan rock Lefthanded.


“Kalau boleh kita mahu berkahwin sekali seumur hidup, tetapi takdir Allah, siapalah kita hendak mengelak?

“Macam yang sudah saya cakap, kahwin berkali-kali ini memenatkan.

“Siapa perempuan yang mahu berkahwin banyak kali? Tak adalah,” kata Sosilawati yang sebelum ini juga mengaku telah bernikah dengan suami barunya di selatan Thailand, Nov 25 lalu.

Pada Jan 4 lalu beliau dilaporkan telah dipanggil untuk menunjukkan surat nikah di Jais.

Sosilawati yang masih melalui majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta dengan Nash di Mahkamah Tinggi Syariah didakwa telah ditangkap berkhalwat.

Sosilawati dan Nash yang mendirikan rumah tangga pada Nov 16 2006 telah bercerai pada Mei lalu.

Berdasarkan perkembangan setakat Jan 12 lalu, beliau dan Nash gagal mencapai persetujuan dalam prosiding sulh berhubung tuntutan wang dan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan kepada penyanyi itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Mahkamah Tinmggi Syariah menetapkan Feb 18 ini untuk sebutan bagi Nash memfailkan afidavit jawapan terhadap tuntutan Sosilawati.

Bagaimanapun awal tahun ini Sosilawati memberitahu The Malaysian Insider bahawa pernikahan tersebut belum didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini bagi membolehkan status mereka sah diperakui di bawah undang-undang negara ini.

Ditanya dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia disiarkan hari ini, Sosilawati yang ditanya apa yang paling ditakutkan atau bimbang bercerai lagi memberitahu, itu semua kerja Allah.

“Saya tak boleh ramai sejauh mana jodoh saya dengan yang ini, bukan kuasa saya,” katanya.

Sosilawati menambah, dulu beliau pernah mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran, gah satu Malaysia.

“Tetapi kami tak bahagia juga, sudahnya bercerai. Jadi kali ini saya buat keputusan diam saja, tak mahu heboh-heboh.

“Umur saya sudah 47 tahun lah, bertukar laki ini penat tau,” kata beliau sambil menambah, sekiranya boleh tidak mahu berkahwin lagi.

“…tetapi apalah daya kerana saya juga manusia biasa yang tertakluk kepada takdir-Nya,” ujar beliau.

Beliau menambah, hujung tahun lalu mereka berkahwin, tetapi secara diam.

“Dan kerana insiden malam tahun baru itu, orang tahu juga akhirnya.

“Saya tak boleh buat apa-apa bila akhirnya terpaksa juga bagitahu mengenai pernikahan kali ini walaupun awalnya saya hendak berahsia,” kata beliau.

Mengenai emosinya sekarang, Sosilawati menjelaskan beliau sudah cukup kuat.

Oleh itu katanya, “apa juga orang hendak cakap, saya terserah saja kepada mereka.”

“Saya tak kacau hidup orang, kalau mereka hendak bercakap pasal saya, saya reda,” katanya lagi.

Berhubung sebab merahsiahkan perkahwinan macam artis, Sosilawati menjelaskan, beliau berkahwin dengan orang biasa, bukan dengan artis.

“Kenapa perlu gembar-gemburkan? Apa yang penting selepas kami berkahwin, anak-anak saya dan keluarga tahu, cukuplah, tak perlu orang luar tahu.

“Ini ruang peribadi saya, biarlah saya selesaikan ikut cara yang saya inginkan,” katanya.

Sosilawati juga menafikan beliau melarikan diri selepas insiden tahun baru itu.

Respons beliau, “saya tak lari ke mana. Saya hanya ke Indonesia.”

“Kebetulan memang itu rancangan percutian bersama keluarga memandangkan anak saya yang belajar di London sedang bercuti.

“Jadi, kami satu keluarga mahu bercuti di Indonesia. Seminggu selepas kes itu, kami pergilah sebab sudah lama merancangnya.

“Takkan kerana kes itu, saya tak boleh berjalan ke mana-mana? Saya tak larilah. Kenapa saya perlu lari?’ katanya.

Sosilawati masih merahsikan nama suaminya tetapi sekadar memberitahu nama beliau bermula dengan perkataan “R” dan rakyat negara ini.

“Biarlah rahsia buat sementara waktu. Yang penting, saya harap dia adalah lelaki yang lebih baik daripada lelaki-lelaki lain yang pernah hadir dalam hidup saya sebelum ini.

“Nama dia bermula dengan huruf ‘R’, sebelum ini dia duda punya tiga anak. Sudah hampir 10 tahun dia menduda. Tolong jelaskan, suami saya orang Malaysia, bukan warga negara Indonesia seperti diperkatakan sebelum ini ya,” tambah beliau.

Bagaimanapun beliau juga menafikan suami barunya itu merupakan bekas kekasihnya.

“Memang kami sudah kenal lama, sebelum saya berkahwin kali kedua dengan Nash lagi.

“Lama, lebih 10 tahun kami kenal, tetapi hanya sebagai kawan baik, bukan kekasih macam yang orang lain anggap itu.

“Lepas saya bercerai dengan Nash, saya akui, hidup saya sunyi. Saya memang perlukan seorang suami yang boleh berkongsi apa saja tentang dunia dan kehidupan saya. Sebab itu kami mula berkawan balik.

“Sudah takdir, kami menjadi suami isteri, inilah jodoh yang kita sendiri tidak faham dan tidak boleh ramal,” katanya.-/best1of4

No comments:

Post a Comment