Pages

Monday, February 8, 2010

Selepas King Ghaz, Dollah Majid pula meninggal

TIGA minggu selepas King Ghaz, Tun Ghazali Shafie meninggal, meninggal pula ‘adik’nya Abdullah Majid, bekas Timbalan Menteri yang sezaman dengan Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas.

Dalam Memoir saya "Anak Apak" yang belum diterbitkan saya ada menyebutkan bantuan Dolah Majid pada saya bagi mendapatkan nama-nama tetamu untuk mesyurat agung GPMS di Pulau Pinang tahun 1963. Dia bersama Dr. Sanusi Othman, bekas Setiausaha Agung Partai Rakyat pernah mengambil saya di rumah sewa di pulau untuk makan tengahari di rumah ayah Tun Abdullah Badawi di Kepala Batas.

Kelas Bimbingan GPMS di Pulau Pinang diperintah tutup oleh kerajaan kerana guru sukarela kelas sastera Melayunya Dolah Majid.

Saya amat kenal dengannya semasa dia menjadi ketua Biro Penerangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang dikuasai oleh mendiang Front Sosialis, gabungan Parti Rakyat dan Parti Buruh tahun 60an dulu.

Menjelang hujung perkhidmatan dengan kerajaan Bandaraya Front Sosialis itu Abdullah Majid diterima menjadi pensyarah sebuah universiti di Australia tetapi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra enggan menyokongnya kerana penglibatan dan hubungannya dengan parti-parti kiri di Tanah Melayu termasuk Parti Komunis Malaya.

Tetapi Senu Abdul Rahman, menteri penerangan dalam kabinet Tunku Abdul Rahman mengambilnya menjadi Setiausaha Politik menggantikan Datuk Syed Kechik. Lepas itu Timbalan Perdana Menteri Tun Razak mengambilnya menjadi Setiausaha Akhbar. Ternyata dia sangat disenangi oleh kumuniti wartawan asing di Kuala Lumpur.

Bila dia menjadi Setiausaha Politik Dato Senu, hubugannya dengan pemimpin parti kiri seperti Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali putus. Dia rapat denganTun Razak dan orang-orang Tun Razak termasuk Tan Sri Abdullah Ahmad, Setiausaha Politik Tun Razak masa itu.

Bila Tun Razak jadi Perdana Menteri dia menjadi Setiausaha Akhbarnya juga dan adiknya Abdul Wahab Majid pula menjadi Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Tun Hussein Onn.

Hubungan saya dengannya bermasalah bila saya berkhidmat dengan Utusan Melayu tetapi keadaan jadi normal bila dia berkhidmat dengan Tun Razak dan UMNO pimpinan Tun Razak

Bila saya dipilih mengikuti kunjungan Tun Razak ke Beijing bagi menormalais hubungan Malaysia – China, Dolah Majid memberi saya taklimat khas tentang hubungan diplomatik itu.

Saya pernah melihatnya di kediaman King Ghaz yang sudah jadi Menteri Penerangan. Tan Sri Ghazali membahasakan dirinya ‘abang’ kepada Dolah dan jika saya tidak silap Dolah membahasakan dirinya ‘adik.’

Begitu rapat hubungan mereka, Ghazali dari Kuala Lipis dan Dolah dari Dong, Raub. Mereka mungkin berkeluarga dan yang jelasnya bersekolah yang sama di Sekolah Cliford Kuala Lipis. Tun Razak juga pernah sekolah di situ.

Tun Razak memberi kerusi Parlimen Kuala Lipis kepada King Ghaz dan tahun 1974 Tun memberi kerusi Parlimen Raub kepada Abdullah Majid. Dan lepas itu Dolah menjadi Timbalan Menteri Buruh.

Apabila pimpinan Tun Razak dilanda fitnah kononnya UMNO dan kerajaan diresap komunis, penglibatan Abdullah dalam pentadbiran Tun Razak dijadikan bukti tentang tohmah itu. Hubungan Dolah dengan orang kiri dan parti kiri di masa mudanya dulu dianggap penghubung membabitkan penyerapan komunis dalam UMNO dan kerajaan.

Sukar bagi Tun Razak menyelesaikannya dan tohmah itu diwarisi pula oleh pentadbiran Tun Hussein Onn yang menggantinya dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Tun Hussein tidak mampu menghalang tekanan dan asakan golongan kanan dalam UMNO yang diketuai oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Datuk Harun Idris, maka Perdana Menteri bersetuju dengan laporan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie menahan Dolah Majid dan seorang Timbalan Menteri lagi Tan Sri Dolah Ahmad di bawah ISA kerana hubungan mereka dengan komunis.

Ada rakyat yang percaya dan ada yang tidak percaya. Tetapi mereka muncul di kaca TV mengaku tuduhan polis Cawangan Khas terhadap mereka. Selepas bebas dari ISA beberapa tulisan Abdullah Ahmad mengira tahanan terhadapnya adalah gara-gara laporan salah Ghulam. Dia tidak menjelaskan siapa Ghulam tetapi dipercayai ditujukan kepada King Ghaz.

Tidak ditolak bahawa kertas Menteri Dalam Negeri kepada Perdana Menteri menentukan seseorang ditahan di bawah ISA. Saya tidak dapat membayangkan bagimana yang mengaku abang sedia mengemukakan kertas ke atas ‘adik’ menyebabkan Dolah Majid ditahan ISA.

Dolah Majid tidak membuat bising selepas bebas dari ISA. Dia menjalani hidup biasa dikatakan banyak menterjemahkan buku dan kitab dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu untuk penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya kadang-kadang tersermpaknya dalam majlis-majlis sosial bersama mendiang MGG Pillay, seorang wartawan bebas yang sezaman dengan Dolah. Mereka pernah bersama ke Kota Bharu kerana mengikuti Muktamar PAS dan perkembangan kerajaan PAS pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dia acap ke Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar apabila ada keramaian seperti Hari Terbuka Idilfitri. Kawannya ialah MGG Pillay.

Nama Abdullah Majid telah saya ketahui sebelum saya mengenalinya awal 60an kerana dia adalah seorang aktivis gerakan kemerdekaan sejak zaman pelajarnya. Memang dia dikenali orang kiri.

Selepas dia bebas dari ISA dan sebelum diserang angin ahmar, ahli-ahli jamaah Masjid Mujahiddin Taman Damansara Utama memberitahu saya mereka melihatknya setiap Subuh dan Isya solat berjamaah di situ. Kata Tuan-Tuan Guru orang yang tidak meninggal berjamaah Subuh dan Isya adalah amalan ahli syurga.

Saya syukur dengan apa yang saya dengar tentangnya di akhir hayatnya. Berbelas-belas tahun dia terlantar di kamarnya kerana stroke. Kata ahli ibadat, sakit lama yang Allah takdirkan kepada hambaNya adalah bagi membersihkan kehidupan hamba-hambaNya yang disayangiNYA. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment