Pages

Friday, July 30, 2010

Hubungan Romantik Saiful Bukhari, Perlu Siasatan Bagi Elak Perbicaraan Cacat


Pengesahan hubungan romantik antara Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif dengan Saiful Bukhari Azlan, kedua-duanya terlibat dalam perbicaraan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu disiasat kerana ia memberi implikasi terhadap kes berkenaan. Peguam, R Sivarasa berkata kegagalan Pejabat Peguam Negara berbuat demikian hanya akan menjadikan perbicaraan kes yang sedia kala dipandang ramai sebagai konspirasi politik, menjadi sebuah perbicaraan yang cacat.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, kecacatan perjalanan perbicaraan kes mudah berlaku dan memberi kelebihan kepada Saiful yang dijangka mudah memanipulasi maklumat yang dimiliki pasukan pendakwa raya. Hubungan Farah Azlina dengan Saiful Bukhari yang juga saksi utama kes berkenaan didedah sebuah portal berita, sebelum disahkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail tidak lama kemudian.

Sebelum membuat pengesahan kepada media, Gani dilihat terlebih dulu menyediakan alasan bagi mengelak proses pendakwaan terjejas dengan menggugurkan Farah Azlina. “Implikasinya adalah setakat mana hubungan ini telah membenarkan saksi ini yang juga pengadu memiliki akses kepada maklumat sulit daripada saksi lain, maklumat dalam kertas siasatan.

"Itu menjadi persoalan dan memberi implikasi serius. Ia mungkin mempengaruhi keterangan saksi dalam kes ini. Kalau benar, ini adalah perbicaraan yang cacat dan harus dibatal. “Gani Patail sendiri mengesahkan Farah Azlina ada hubungan romantik dengan Saiful. Ada dakwaan mengatakan dia memutuskan pertunangannya. Ini menunjukkan hubungan dengan Saiful adalah serius,” katanya.

Sivarasa juga berpendapat alasan kononnya Farah Azlina cuma berperanan sebagai pencatat nota perbicaraan, adalah dangkal kerana sebagai sebuah pasukan, mereka tentunya berkongsi pelbagai maklumat. “Itu tidak boleh diterima sebab adalah luar biasa mereka yang bekerja sebagai satu pasukan dan kita mudah mengatakan bahawa Farah Azlina tidak ada akses kepada dokumen sekali gus perbicaraan tidak terjejas,” katanya.

Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pengguguran Farah Azlina, tidak mencukupi kerana proses perbicaraan kes berkenaan, sudahpun bermula. Beliau menegaskan, siasatan menyeluruh mengenai sejauh mana urusan peribadi itu mempengaruhi dan memberi kelebihan kepada Saiful Bukhari, perlu dibuat. “Apa yang penting sekarang adalah siasatan tapi saya nampak sekarang dalam kenyataan Gani Patail tiada tanda wujud siasatan ini. Nampaknya, pihak pembelaan kena bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

1 comment:

  1. huhu.. xleh blah aa..
    ada hubungan terlarang lagi si saiful nih.. kui3

    ReplyDelete