PRU-13: BN belum bersedia, mungkin pilihanraya paling kotor dalam sejarah
Penyelaras Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dalam masa terdekat kerana berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.Katanya, kerajaan BN juga masih belum bersedia untuk menghadapi saingan sengit daripada PR dan membayangkan ia bakal menjadi pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah negara.
Pilihan raya sebelum ini sudah berlaku kekecohan dan tidak mustahil akan berlaku perkara sama dalam PRU-13. Bagaimanapun, pemimpin sebelum ini boleh menerima kekalahan dan untuk pilihan raya kali ini, pemimpinnya tidak mungkin memberi peluang kepada kekalahan mereka dan sanggup lakukan apa saja,” katanya kepada pemberita ketika majlis makan malam anjuran PKR Bahagian Kuantan di sini, semalam.
Katanya, parti pembangkang dan rakyat perlu bersedia bekerjasama menghadapi satu pilihan raya paling menakutkan dan kotor kerana kemungkinan berlaku ugutan dan penipuan.
“Seperti yang kita tahu, BN kalah di Perak tetapi selepas itu mereka berjaya mengambilnya semula. Itu juga menunjukkan pucuk pimpinan UMNO sekarang tidak dapat menerima kekalahan dan tidak akan mengikut undang-undang,” katanya.
Justeru, beliau mengajak rakyat bersungguh-sungguh bersama menyumbang tenaga dan wang untuk membuat pembaharuan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Jika ada yang boleh menyumbang tenaga, mereka boleh menyumbang tenaga, jika ada wang mereka boleh menyumbang wang ringgit untuk membuat satu perubahan pimpinan di negara ini.
“Saya percaya, jika kita boleh bersatu, pemimpin yang ada sekarang akan menjadi Perdana Menteri terakhir bagi BN,” katanya.
Beliau juga berharap, rakyat Pahang akan terus mempertahankan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk terus menang pada pilihan raya akan datang. -SH
No comments:
Post a Comment