
PUTRAJAYA, 23 Dis [3.30 pm] - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 1 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Timbalan Pendaftar, Jumirah Marjuki, menetapkan tarikh itu dalam kamar semasa kes itu didengar hari ini untuk tujuan pengurusan. Dalam permohonan yang dikemukakan pada 20 November lalu, Anwar menyenaraikan tiga isu untuk ditentukan oleh mahkamah, antaranya sama ada Mahkamah Rayuan, dalam keadaan undang-undang terkini yang tidak memihak kepada bantahan bersifat teknikal, boleh terus memutuskan untuk enggan mengguna pakai budi bicara untuk memastikan bahawa kecacatan bersifat teknikal tidak diberi keutamaan ke atas hak-hak substantif Pada 10 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak, yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, menolak saman Anwar berjumlah RM100 juta dengan alasan bahawa memorandum rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris adalah satu kecacatan, tidak sah dan menyalah guna proses mahkamah. Sebelum itu pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun menolak saman itu dengan kos. Anwar telah mendakwa bahawa kenyataan Dr Mahathir yang menganggap beliau seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan menghina beliau.
[Hakim Mahkamah Rayuan yang mempertikaikan memorandum rayuan Anwar dalam Bahasa Inggeris itu sebenarnya adalah antara mereka yang telah diberi watak-watak utama dalam skrip untuk menyelamatkan mantan Perdana Menteri itu sebenarnya. Lantaran itulah kita tidak hairan mereka menggunakan alasan dangkal seperti itu untuk memastikan Mahathir terselamat. Mereka seolah-olah cuba untuk memperbodoh-bodohkan rakyat dan diri mereka sendiri yang kononnya tidak tahu berbahasa Inggeris, sedangkan perbicaraan terdahulu selama ini kebanyakannya mereka menggunakan bahasa tersebut. Semua ini dilakukan hanya untuk mengaburi rakyat agar mempercayai bahawa Mahathir yang betul].
No comments:
Post a Comment