Pages

Sunday, January 17, 2010

MENJUNJUNG KASIH SULTAN KEDAH


Banyak kali saya bercakap dan menulis mengenai politik muafakat. Pun begitu, ada yang masih tak faham, atau bebal dengan mengatakan saya mencadangkan UMNO dan PAS bergabung. Saya akan menjadi orang yang pertama memprotes sekiranya kedua-dua parti politik Melayu itu menjadi satu. Sebaliknya, saya ingin melihat lebih banyak lagi parti politik Islam-Melayu wujud. Politik berkisar sekitar perundingan kuasa. Walaubagaimana kecil sekalipun parti politik, ia dikira sebagai satu entiti. Biarlah UMNO dan PAS seperti sekarang.

Politik muafakat bukan bermaksud bergabung. Politik muafakat bererti bermuafakat mentadbir negeri dengan peranan masing-masing. Kerajaan buat kerja kerajaan. Pembangkang laksanakan tugas sebagai pembangkang dengan baik. Dalam hal-hal pokok, UMNO dan PAS harus bersetuju. Usah berpolitik sampai agama dan bangsa tercicir. Usah amalkan politik kebencian.

Sebagai anak Kedah, saya menjunjung kasih kepada Sultan Kedah. Sempena ulangtahun keputeraannya, baginda mengurniakan darjah kebesaran kepada rakyat Kedah yang berjasa kepada negeri itu, tanpa mengira parti. Ini adalah satu contoh "politik muafakat" yang saya sebutkan.

Tahniah kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff (UMNO) yang dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah Yang Amat Dihormati (SHMS), yang membawa gelaran "Datuk Seri DiRaja".

Tahniah juga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom (UMNO) yang menerima anugerah Seri Setia DiRaja Kedah (SSDK), dengan gelaran "Dato' Seri".

Tahniah kepada Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman (PAS) dan Ahli Parlimen Merbok Dato' Rashid Din (PKR) yang dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK); membawa gelaran "Dato".

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abd Razak (PAS), Dato' Paduka Badruddin Amiruddin (Pengerusi Tetap UMNO Malaysia) dan Dato' Tajul Urus Mat Zain (Ketua UMNO Bahagian Merbuk) yang dilantik sebagai Jaksa Pendamai.

Untuk makluman, bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadzil Nor juga mendapat anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran "Dato" sewaktu Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menter Besar.

No comments:

Post a Comment