ALOR SETAR 17 Jan. - Budaya 'cah keting' atau cantas-mencantas tidak wujud dalam kalangan pemimpin Pas di negeri ini, kata Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, jika budaya berkenaan berlaku di negeri ini, ia adalah di luar pengetahuannya.
Katanya, Pas yang menerajui kerajaan negeri mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua pihak termasuk dengan Kerajaan Persekutuan.
'Cah keting' tiada, Kedah duduk cah pokok keladi adalah," katanya yang berseloroh apabila diajukan pertanyaan sama ada budaya 'cah keting' berlaku di dalam Pas di negeri ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang Ke-82 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Pada istiadat itu, Azizan dianugerahkan bintang Jaksa Pendamai (JP).
Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, sepanjang pengetahuannya tiada ahli Pas negeri yang ingin 'mencantasnya.'
Beliau juga secara berseloroh mencabar mana-mana pihak yang berani mengamalkan budaya berkenaan untuk bersemuka dengannya.
"Nak buat marilah kalau berani," katanya.
No comments:
Post a Comment