ALOR SETAR, 16 Feb (Bernama) -- Sederetan 14 buah rumah kedai musnah dalam satu kebakaran di Pekan Sungai Limau Dalam dekat Yan kira-kira pukul 1 tengah hari Selasa.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang memusnahkan premis yang dibina daripada konkrit dan kayu termasuk kedai runcit, kedai emas, kedai basikal, kedai kopi dan beberapa unit yang dijadikan tempat kediaman.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah, Zainuddin Md Alip berkata sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 1.12 tengah hari, lima jentera dengan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Sungai Petani, Jalan Raja dan Alor Setar dapat mengawal kebakaran daripada merebak dalam masa setengah jam.
"Sebanyak enam pasukan bomba sukarela dari Sungai Limau, Kuala Kedah, Merbok, Gurun, Guar Chempedak dan Yan bersama kira-kira 100 orang anggota turut serta membantu memadamkan kebakaran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Punca kebakaran serta kerugian masih disiasat.
Sementara itu, seorang mangsa yang juga merupakan peniaga kedai kopi, Loh Choon Yean, 25, berkata beliau bersama beberapa orang jiran cuba membantu memadamkan kebakaran tetapi gagal kerana api marak dengan cepat sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment