Najib Umum Peruntukan Khas RM25 Juta Bantu Penduduk Kawasan Rascom
SIBU, 23 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan khas RM25 juta untuk tiga projek bagi meningkatkan mutu kehidupan penduduk empat skim penempatan semula kawasan Rascom di sini yang dahulunya pernah diancam komunis.
Perdana Menteri berkata peruntukan itu termasuk bantuan berjumlah RM8 juta untuk memperbaiki keadaan rumah panjang yang memberi faedah kepada 1,422 penghuni di skim-skim penempatan semula Nanga Janggau, Nanga Ngungun, Nanga Skuau dan Nanga Tada.
"Sejumlah RM8 juta akan diperuntukkan bagi pembinaan jalan antara Nanga Janggau dan Nanga Ngungun dan RM9 juta untuk pembinaan sebuah klinik di Nanga Tada," katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 km dari sini.
Selain bantuan-bantuan ini, Najib mengumumkan bantuan kewangan kepada 477 orang pelajar sekolah di kawasan skim penempatan semula itu dalam bentuk simpanan di Bank Simpanan Nasional.
Menerusi program itu, pelajar sekolah rendah akan menerima RM450 setahun setiap orang manakala pelajar sekolah menengah mendapat bantuan RM600 setahun seorang.
Najib turut meminta Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Industri Getah (Risda) mengenal pasti kawasan di skim-skim penempatan semula ini yang berpotensi untuk penanaman getah secara kekal.
Ini adalah untuk membantu rakyat di situ menikmati pendapatan tetap melalui penglibatan mereka dalam projek penanaman itu, katanya.
Skim-skim penempatan semula Rascom telah diwujudkan sejak 1972 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang merupakan ayahanda Najib, dengan tujuan melindungi rakyat daripada ancaman pengganas komunis ketika itu.
Menurut Najib, usaha baru beliau membantu rakyat di kawasan skim itu diharap akan dapat membuka lembaran baru bagi mereka untuk melakar zaman yang lebih makmur selepas ayah beliau berjaya melindungi mereka melalui penubuhan skim-skim itu.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan pusat sedia membantu membawa kembali jenazah 22 orang askar berasal dari Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung untuk disemadikan di negeri ini.
Katanya askar-askar berkenaan, yang merupakan renjer dan peninjau, telah terkorban semasa mempertahankan negara daripada ancaman komunis dahulu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment