Pages

Friday, February 5, 2010

MCA Hilang Sokongan Jika Gagal Selesaikan Krisis - Chen

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- MCA, parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) akan kehilangan sokongan masyarakat Cina jika parti itu gagal menyelesaikan krisis kepimpinannya, kata bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Michael Chen.

Beliau berkata pucuk pimpiman MCA tidak harus merosakkan imej parti dengan mendahulukan agenda peribadi daripada menjamin perpaduan lebih kukuh di kalangan anggota parti.

"Jika tidak ada kerjasama dari kalangan anggota parti untuk menyelesaikan pertikaian, masyarakat Cina akan hilang minat dan ini tidak baik buat MCA, seterusnya BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Terdahulu, Chen menyampaikan syarahan berjudul "Urus Tadbir - Pendekatan dalam Era Razak" pada Siri Syarahan Tun Abdul Razak di Universiti Tun Abdul Razak di sini.

"Saya harap kesemua tiga faktor (Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai) akan mencapai kata sepakat dalam mencari penyelesaian terhadap masalah parti.

Chen berkata sebagai pemimpin, mereka mesti mampu membuat keputusan tegas, memperkukuhkan parti dan tidak membiarkannya merosot.

Sementara itu, Chen berkata, parti-parti komponen BN perlu memperkukuhkan kedudukan mereka, menghentikan perbalahan mengenai isu-isu remeh dan bergerak berorientasikan perkhidmatan untuk dapat kekal sebagai parti memerintah.

Beliau berkata, "Jika BN kuat, tiada pihak akan dapat menggunakan apa jua cara politik untuk menggugat masyarakat seperti berlaku sekarang".

Chen, yang memulakan kerjayanya dalam kerajaan pada 1964 sebagai Setiausaha Parlimen kepada ketika itu Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, berkata pemimpin parti, anggota parti, malah menteri-menteri kabinet mesti tahu matalamat mereka yang sebenarnya dengan itu mereka boleh kekal bersatu.

"Malangnya, yang sedihnya ialah terdapat sesetengah daripada mereka yang perlu menjalani semula orientasi atas beberapa sebab, seperti mereka tidak tahu kepada siapa mereka berkhidmat, matlamat atau agenda mereka," kata beliau.

Semasa berkhidmat di bawah Tun Razak - bapa kepada Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib, Chen berkata beliau dilatih melaksanakan prioriti dengan disiplin yang tinggi.

Mengenai kepimpinan Najib, Chen berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri membawa kembali memori tentang falsafah politik dan pencapaian yang sama perdana menteri kedua itu.

Menurut beliau, konsep 1Malaysia adalah sebahagian daripada warisan politik Tun Razak kerana ia menggalakkan kemajuan rakyat berdasarkan merit.

Beliau berkata semasa penggal perkhidmatan Tun Razak, sudah terdapat konsep seumpama itu, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru, dan rancangan Felda yang tidak saja untuk orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment