Wednesday, March 24, 2010

ABDUL MALEK LESAP 2.5 JUTA

ambik dari,,,,





25 march 2010 - Seorang bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hilang ganti rugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.


Hakim Md Raus Shariff yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek Hussein adalah sah dan menolak semua dakwaan yang dia diseksa semasa dalam tahanan. Dua hakim lain yang itu ialah hakim mahkamah persekutuan - Sulong Matjeraie dan Ahmad Maarop.



Berikutan keputusan itu, Abdul Malek tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000. Sementara itu, Abdul Malek berkata beliau akan membawa kesnya itu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan hari ini.( hafiz yatim )


24 oktober 2007 - Bila mata saya terbaca tajuk berita “Malek dapat RM2.5 juta salah tahan ISA”, amat sukar hendak saya mempercayai kebenarannya. Kerana pada prinsip perundangan, mana ada penahanan ISA tanpa dibicarakan di mahkamah itu bukan “salah tahan” pada erti kata sebenarnya, tapi pada beribu-ribu bekas tahanan ISA itu, siapakah yang pernah dibayar gantirugi?

Bagaimanapun, justeru kerana kemenangan Abdul Malek Hussin - seorang bekas tahanan ISA - itu adalah di luar jangkaan, maka ia harus dialu-alukan sebagai suatu kemenangan bersejarah bagi perjuangan menentang kezaliman ISA, bukan cuma dari segi bayaran gantirugi, tetapi yang lebih bermakna ialah dari segi peningkatan semangat juang untuk memansuhkan undang-undang zalim itu.

Maklumlah, apa yang dialami Abdul Malek bukan kes terpencil, tetapi pengalaman tipikal para tahanan ISA yang dianggap ‘keras’ dan ‘degil’, dan ingin sangat dipatahkan semangatnya agar dapat di‘turn-over’ ke pihak kerajaan.

Seksaan mental dan fizikal yang dialami Abdul Malek - termasuk kurungan seorang diri, dibogelkan dan dipaksa berdiri di depan penghawa dingin, dibelasah beramai-ramai sehingga pengsan dengan tangan digari ke belakang dan mata tertutup, kemaluan dan duburnya dipukul dan dicucuk dengan benda keras, dipaksa minum air kencing dan makan tahi anjing, digertak akan disuntik dengan virus HIV dan anak-anak dan isterinya akan diganggu, dilarang berjumpa dengan doktor, ahli keluarga dan peguamnya, dilarang membuat aduan polis dan memfailkan permohonan habeas corpus, diugut akan ditahan semula bila-bila saja dan sebagainya - memang amat dahsyat dan menakutkan.

Namun berbanding dengan tahanan-tahanan - yang selepas diseksa menjadi tidak siuman, membunuh diri atau cuba membunuh diri, mati dalam tempat tahanan atau tak lama selepas dibebaskan menghidap pelbagai penyakit kronik dan sebagainya - Abdul Malek masih boleh dianggap bernasib baik, meskipun dari segi psikologi kesan pasca-seksaan masih terus-menerus menghantuinya.

Yang amat menggalakkan ialah dalam penghakiman setebal 41 halaman itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah memutuskan bahawa Abdul Malek berhak mendapat gantirugi kerana penahanannya pada malam 25 September 1998 di bawah ISA itu adalah menyalahi undang-undang dan dilakukan secara mala fide (dengan niat jahat).

Katanya, pelakuan para defendan adalah tidak berperikemanusiaan, kejam dan hina, kerana plaintif (Abdul Malek) bukan sahaja ditangkap dan ditahan secara salah selama 57 hari tetapi juga turut disakiti, diaibkan dan didera secara fizikal dan mental.

'Dakwaan kosong'

Tambahnya lagi, dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung di dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau bilau, hanya dakwaan kosong tanpa bukti material.

Dan cara soal siasat jelas untuk tujuan politik bagi mengumpul maklumat risikan dan tidak ada kena-mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan sejak dari awal adalah mala fide.

Tidak dapat dinafikan bahawa penahanan Abdul Malek adalah sama seperti penahanan Tian Chua, Hishammuddin Rais, Saari Sungip, Ezam Mohd Nor, Dr Badrulamin Bahron, Lokman Adam dan pemimpin-pemimpin Gerakan Reformasi yang lain, yang tiada kena-mengena dengan keselamatan negara, tetapi untuk tujuan politik bagi mensabotaj dan mengkucar-kacirkan Gerakan Reformasi yang dianggap telah mengancam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jika diimbas kembali proses perkembangan politik negara kita, Undang-undang Darurat 1948 telahpun diperalatkan penjajah British untuk menumpaskan PKM, PKMM, API, AWAS dan pertubuhan-pertubuhan kiri yang lain pada hujung tahun 1940-an hingga awal 1950-an. Selepas ‘merdeka’, peranan Undang-Undang Darurat telah diambil alih oleh ISA 1960 dan diperalatkan Perikatan/BN untuk menumpaskan Barisan Sosialis dahulu dan Barisan Alternatif sekarang.

Pendek kata, jika ISA tidak dimansuhkan, maka sudah barang tentu ia akan terus diperalatkan oleh BN untuk menindas parti-parti dan badan-badan bukan-kerajaan yang menganjurkan reformasi politik untuk menentang hegemoni Umno/BN yang mengamalkan dasar-dasar korapsi, kronisme dan nepotisme, dan apa yang dinamakan sistem demokrasi berlandaskan pilihanraya umum juga merupakan tipu daya semata-mata.

Rasanya, Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah menyedari peranan Jabatan Cawangan Khas Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ejen kerajaan dalam menindas pembangkang, maka ditegasnya bahawa jabatan tersebut bukan sahaja perlu bersikap berkecuali, tetapi juga perlu dilihat berkecuali dan tidak memihak kepada sesiapa, termasuk dalam politik.

Datuk Shahrir Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagaimanapun menolak andaian bahawa PDRM telah dijadikan ejen oleh parti pemerintah untuk menekan pengaruh parti pembangkang pada masa itu dengan alasan kes terbabit berlatarbelakangkan rusuhan.

'Taktik basi'

Mengaitkan Gerakan Reformasi dengan ‘rusuhan’ - umpama mengaitkan pimpinan Barisan Sosialis dengan ‘aktiviti subversif ’ dan ‘komunis’ - adalah suatu taktik yang sudah basi. Seperti hujah penghakiman, tanpa bukti material ia hanya dakwaan kosong!

Yang signifikan ialah Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah menekankan amalan mendera tahanan oleh polis tidak pernah dan tidak akan disokong oleh mahkamah. Mahkamah perlu menunjukkan kebenciannya terhadap perbuatan itu.

Justeru, tambahnya, pemberian gantirugi teladan itu perlu untuk menunjukkan kebencian mahkamah terhadap penyalahgunaan kuasa di bawah ISA. Sebarang penyalahgunaan kuasa perlu ditimbal balas dengan pemberian gantirugi teladan bagi memastikan penyalahgunaan kuasa itu dapat disekat pada tahap seminimalnya, jika pun tidak dapat dibasmikan sama sekali.

Dalam hiruk-pikuk skandal klip video Linggam yang memberi pukulan tuntas terhadap kredibiliti dan kebebasan kehakiman negara kita, penghakiman berani terbabit memberi nafas baru kepada bidang kehakiman yang menghampakan. Kini yang dinanti-nantikan ialah sama ada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi juga mempunyai kebencian yang sama terhadap penyalahgunaan kuasa di bawah ISA.

Jika jawapannya adalah positif, maka penghakiman terbabit akan dikekalkan sebagai suatu 'precedent' yang membanggakan dan disusuli dengan pemansuhan ISA yang terbukti bertentangan dengan prinsip perundangan dan hak-hak asasi manusia.

No comments:

Post a Comment