PM Minta BAM Dapatkan Piala Thomas Untuk Rakyat
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Selepas kejayaan Datuk Lee Chong Wei menjuarai kejohanan badminton All England, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rabu menerima tugasan baru daripada Perdana Menteri -- menjuarai Piala Thomas, Mei ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sasaran itu perlu sebagai dorongan kepada badan induk sukan badminton terus melakar kejayaan khususnya membawa balik Piala Thomas ke Malaysia setelah kali terakhir memenanginya 11 tahun dahulu.
"Ini satu tugas buat BAM, khas buat Datuk Nadzmi (Salleh Presiden BAM), ini adalah tugas kamu seterusnya untuk bawa balik Piala Thomas untuk Malaysia," katanya pada jamuan tengah hari meraikan kejayaan Lee Chong Wei meraih kejuaraan acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton All England bersama anggota-anggota Parlimen di Dewan Bankuasi di bangunan Parlimen di sini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung BAM, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Mohd Nadzmi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan jurulatih badminton perseorangan negara Datuk Misbun Sidek.
Kejohanan Piala Thomas akan berlangsung mulai 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra di Bukit Jalil.
Najib berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada sukan badminton kerana ia menjanjikan peluang untuk negara memperoleh pingat di mana sasaran seterusnya adalah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik suatu hari nanti.
Menyentuh kejayaan Chong Wei menjuarai All England edisi ke-100, Najib berkata, ia adalah suatu yang amat istimewa memandangkan kejuaraan itu paling berprestij kerana semua jaguh badminton seluruh dunia mengambil bahagian.
Katanya, kerajaan dan rakyat amat berbangga atas kejayaan tersebut kerana gabungan antara Chong Wei dan jurulatihnya Misbun menggambarkan suatu hubungan yang sangat istimewa, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.
"Saya nak nyatakan apa yang dilakukan oleh Chong Wei dan Misbun memberi makna kepada gagasan 1Malaysia kerana kita dapat lihat hubungan mereka yang terjalin tanpa mengira keturunan tetapi mereka boleh bersatu dan berjaya atas nama 1Malaysia, 1Rakyat 1Negara," katanya.
Najib berkata, untuk berada di tahap tersebut, Chong Wei telah berdepan pelbagai dugaan seperti diperlekeh bahawa kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia tidak bermakna kerana beliau tidak pernah memenangi kejohanan utama dunia.
Justeru itu Perdana Menteri berharap kejayaan Chong Wei memenangi kejohanan All England akan melenyapkan cakap-cakap tersebut dan terus mara memenangi pelbagai lagi kejuaraan buat negara.
"Saya harap Chong Wei tolong pertahankan (kejuaraan All England), kita tak mahu hanya menang sekali tapi kita mahu menang banyak kali," katanya.
Chong Wei, 28, muncul juara perseorangan lelaki All England selepas menewaskan bintang baru Jepun, Kenichi Tago, 21-19 dan 21-19, sekali gus menjadikan beliau pemain badminton Malaysia kelima selepas Muhammad Hafiz Hashim, Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong dan Tan Aik Huang merangkul kejuaraan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment