Pages

Friday, March 5, 2010

Pengarah Radio IKIM berhenti bukan kerana Hadi





Pengarah Radio IKIM, Ahmad Jais Alias telah meletak jawatan berkuatkuasa 1 Mac lalu secara sukarela dan bukan didesak oleh pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sehubungan itu, IKIM menafikan dakwaan bahawa Ahmad diminta meletak jawatan kerana dikatakan menjemput presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghadiri muzakarah berhubung isu Allah.

Muzakarah anjuran IKIM itu bertajuk 'Terjemahan God sebagai Allah: Mengenal pasti pokok permasalahan dan penyelesaiannya' dan berlangsung pada 21 Januari lalu di dewan besar institut tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata Ahmad tidak ada kena mengena dengan jempuatan Abdul Hadi.

Sebaliknya, kata Nik Mustapha beliau selaku ketua pengarah IKIM sendiri yang menjemput presiden PAS itu menghadiri muzakarah tersebut.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai menjawab surat pembaca di Harakahdaily yang mendakwa Ahmad diminta meletak jawatan kerana kehadiran Abdul Hadi di muzakarah tersebut.

Penulis surat pembaca tersebut ialah Herman Shamsudin yang juga setiausaha penerangan PAS pusat. Beliau turut menyiarkan surat itu dalam blognya sejak semalam.

Mengulas lanjut, Nik Mustapha berkata bahawa jemputan kepada presiden PAS itu dibincangkan oleh beliau selaku ketua pengarah IKIM dengan pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, cadangan menjemput Abdul Hadi untuk menghadiri muzakarah itu dipersetujui oleh Abdullah.

"IKIM menegaskan di sini bahawa Tuan Ir Ahmad Jais Alias, mantan pengarah Radio IKIM secara sukarela meletak jawatan berkuatkuasa 1 Mac 2010 dan bukan didesak oleh IKIM," kata Nik Mustapha.

Menurutnya, surat peletakan jawatan Ahmad, telah dihantar kepadanya (Nik Mustapha) pada 28 Januari lalu.

Malah, katanya, beliau selaku ketua pengarah telah memanggil Ahmad secara peribadi dan memberi tempoh 24 jam untuk menarik balik peletakan jawatan tersebut.

"Namun belia tidak berbuat demikian dan telah menghantar memo kepada ketua pengarah IKIM pada 3 Janauri, memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan.

"Semua surat dan bukti peletakan jawatan itu disimpan dengan baik oleh pihak IKIM bagi tujuan rekod," katanya.

Sehubungan itu, katanya, IKIM memandang serius usaha pihak tertentu untuk menjejaskan nama baik IKIM dengan dakwaan bahawa Ahmad telah didesak meletak jawatan kerana kehadiran presiden PAS di muzakarah berkenaan.

"IKIM sebagai institusi ilmu dan penyelidikan akan meneruskan peranannya meningkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

No comments:

Post a Comment