Pages

Friday, March 5, 2010

Perwakilan Wanita MCA Tetap Adakan AGM Disebalik Penangguhan

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kemelut politik dalam MCA telah melarat ke sayap Wanita apabila sekumpulan perwakilannya memutuskan untuk tidak mematuhi arahan Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun, dengan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Sabtu.

Sebanyak 350 daripada 2,037 perwakilan mengadakan AGM itu di Wisma MCA di sini kerana berpendapat mesyuarat itu sah mengikut perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung Wanita Heng Seai Kie.

"Mesyuarat hari ini mematuhi syarat Perkara 36, perlembagaan parti kerana lebih 200 perwakilan telah mendaftar bagi mesyuarat ini.

"Oleh yang demikian AGM Wanita MCA patut diadakan," katanya kepada para perwakilan selepas pelantikan Ketua Wanita Kelana Jaya Ong Chong Swen sebagai speaker baru bagi mempengerusikan mesyuarat itu.

"Walaupun CC (jawatankuasa pusat) MCA telah memutuskan mengadakan pemilihan baru bagi menyelesaikan kebuntuan dalam parti, AGM parti dan pemilihan parti adalah dua perkara berbeza," katanya.

Terdahulu, speaker Ooi Siew Kim mengumumkan AGM ditangguhkan dan keluar dari Dewan San Choon lima minit selepas mesyuarat bermula pada 9.10 pagi, menyatakan beliau menerima surat untuk menanggguhkan AGM itu daripada Chew tengah malam Jumaat.

Bagaimanapun, pengumuman itu disambut dengan sorakan "boo" dan bantahan daripada para perwakilan dengan mereka mendesak AGM diteruskan.

Mesyuarat itu bersambung selepas 10 minit dan setiausaha penganjur kebangsaan Tan Cheng Liang kemudian mengetuai para perwakilan untuk melantik Ong sebagai speaker.

Walaupun hanya lima perwakilan yang tampil berbahas, perbahasan dan ucapan banyak berkisar mengenai kesahihan AGM itu di mana mereka merumuskan ia adalah sah dan mematuhi perlembagaan parti.

Beberapa perwakilan malahan mempersoalkan motif Chew menangguhkan mesyuarat agung itu dengan menyatakan tindakan itu melanggar perlembagaan.

Pada Jumaat, Chew, selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar sayap itu, telah mengumumkan AGM akan ditangguhkan ekoran tindakan 21 anggota CC meletakkan jawatan bagi memberi laluan untuk pemilihan baru parti.

Mesyuarat pada hari ini pada satu peringkat bertukar emosional apabila seorang daripada anggota jawatankuasa pusat, Chong Sau Chan dari Perak menangis di atas pentas, menyebabkan semua anggota lain turut menitiskan air mata.

"Saya berasa amat sedih kerana perkara sebegini berlaku kepada kita dalam MCA. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku," kata Chong.

Para perwakilan malahan mendakwa wujud cubaan untuk mensabotaj mesyuarat itu dengan mengunci bilik sekretariat oleh kumpulan yang menyokong Chew yang bertujuan menghalang mereka masuk ke bilik itu dan mendapatkan laporan setiausaha agung yang disimpan dalam bilik itu.

Mesyuarat itu meluluskan enam resolusi termasuk ikrar memberikan sokongan padu kepada gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para perwakilan juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) dari sekolah swasta Cina dan memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina serta memohon dana Tekun Nasional diperluaskan kepada semua orang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment