Pages

Friday, March 19, 2010

Pindaan ISA Dibentang Bersama Enam Akta Pencegahan Lain Yang Akan Dipinda

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan memutuskan pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) harus dibentangkan pada persidangan Parlimen bersama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang akan dipinda.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu diputuskan oleh Kabinet selepas berbincang mengenainya.

Asas pindaan ISA iaitu tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri, isu persepsi awam ISA akan diguna untuk kepentingan politik, dan penahanan tanpa perbicaraan pada asasnya telah dipersetujui Kabinet, katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata bagaimanapun selepas mengambil kira kepentingan awam, Kabinet memutuskan ISA harus dibentangkan bersama-sama pindaan ke atas enam akta lain berkaitan pencegahan.

Akta-akta berkenaan ialah Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen 27 Akta Polis 1960, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Hishammuddin berkata bagi Akta Pencegahan Jenayah kajian dibuat terhadap keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah, sementara Seksyen 27 Akta Polis pula dikaji dalam aspek berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit.

Akta Buang Negeri pula diteliti sama ada masih relevan atau perlu dimansuh, manakala Akta Kediaman Terhad dilihat daripada segi keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan, katanya.

Beliau berkata Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat diteliti daripada segi tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin berkata kajian ke atas Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat telahpun siap, sementara kajian terhadap Seksyen 27 Akta Polis berada pada peringkat akhir penggubalan dan akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan tidak lama lagi.

"Semua kajian dan semakan berkenaan akan dibincang bersama dengan Majlis Peguam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment