Sunday, March 21, 2010

Selangor akan ‘merakyatkan’ khidmat bekalan air


Harakahdaily

KLANG, 21 Mac: Langkah Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih konsesi air daripada tangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga dialu-alukan oleh rakyat dan sudah tentu akan ‘merakyatkan’ perkhidmatan bekalan air, bukan mementingkan keuntungan sahaja.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (gambar) menekankan akses kepada air adalah hak assisi manusia dan hak itu tidak boleh dikompromikan.

Beliau turut merakamkan kekesalan terhadap perbalahan pemotongan air di Pangsapuri Armada Putra, Pulau Indah pada malam 19 Mac lalu di mana pihak Syabas bersama polis ingin memotong bekalan air kali ke-11 tetapi dihalang oleh penduduk dan mencetuskan kekecohan.

Beliau berkata, Syabas sepatutnya boleh mengelakkan tindakan keterlampauan itu dengan memberi kelonggoran beberapa minggu bagi Kerajaan Negeri Selangor membuat bayaran dan berunding masalah itu seterusnya.

Sebelum ini, katanya kerajaan negeri telah bersetuju membayar tunggakan air sebanyak RM40,000 sebagai langkah pertama sambil membincang dengan semua pihak berkenaan untuk mencapai penyelesaian keseluruhan.

“Akan tetapi kerajaan negeri tidak dapat membuat bayaran dalam masa satu minggu kerana terikat kepada prosedur kewangan kerajaan negeri,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nik Nazmi telah meminta agar Syabas memberi kelonggaran tarikh bagi membuat bayaran itu.

Bagaimanapun, tambahnya permintaan itu ditolak oleh Syabas dan telah mengarahkan pemotongan bekalan air serta-merta selepas tarikh tamat iaitu 19 Mac lalu.
“Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Syabas hanya mementingkan keuntungan dan tidak menguruskan bekalan air dari aspek sosial dan perikemanusiaan. Ini merupakan suatu masalah yang mesti timbul selepas kerajaan menswastakan kemudahan awam seperti bekalan air,” ujarnya lagi.
Di samping itu, katanya pihak Syabas juga perlu memikul sebahagian tanggungjawab mengenai jumlah tunggakan bil air di Armada Putra.

Ini, ujarnya adalah kerana syarikat itu tidak mengesan masalah kebocoran air dan membaiki secepat mungkin.

Menurutnya, kebocoran paip telah menyebabkan tunggakan melambung sehingga RM800,000 yang tidak mampu ditanggung oleh penduduk.

No comments:

Post a Comment