Pages

Wednesday, March 3, 2010

Sendiri tanggung daa!!

Ibu tunggal diugut duda sebar hubungan terlarang

JOHOR BAHRU 3 Mac - Seorang ibu tunggal bukan saja diminta memberi wang malah mendakwa diugut seorang duda yang akan menghebahkan hubungan seks terlarang jika cuba memutuskan perhubungan mereka.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 33, dari Masai, Pasir Gudang mendakwa mengenali lelaki berusia 44 tahun itu yang menetap di Kuala Lumpur pada 2008.

Jamilah berkata, dia mula berurusan dengan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah bank di ibu negara menerusi telefon apabila menghadapi masalah hutang kad kredit.
"Pada mulanya dia berjanji untuk membantu saya namun melihat caranya yang mengambil berat terhadap saya, kami mula menjalinkan hubungan.

"Bagaimanapun setelah lebih setahun berkenalan, dia pula buat cerita tak diterima keluarga selain berhutang dengan ah long RM30,000," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jamilah memberitahu, dia mula membantu lelaki berkenaan dengan meminjamkan wang berjumlah lebih daripada RM3,000, namun dia meminta untuk memutuskan hubungan mereka apabila menyedari dirinya seolah-olah dipergunakan.
Dia yang bekerja kilang dan mempunyai lima anak berusia antara enam dan 14 tahun berkata, perkenalan dengan lelaki itu juga menyebabkan rumah tangganya musnah sekali gus bercerai setahun kemudian.

"Bila saya hendak putuskan hubungan, lelaki itu mengugut memberitahu keluarga saya tentang hubungan kami termasuk saat keterlanjuran ketika saya bersamanya," ujarnya.
Berikutan ugutan itu, Jamilah membuat dua laporan polis, kali pertama di Balai Polis Taman Scientex, Pasir Gudang pada 4 September tahun lalu dan yang kedua di Balai Polis Seri Alam, Pasir Gudang semalam.

Dia juga dimaklumkan empat lagi wanita turut menjadi mangsa kepada pegawai bank tersebut.

No comments:

Post a Comment