Saturday, March 20, 2010

SPRM Kenapa Fairus Tidak Didakwa?

Ahli Exco Angkatan Muda KEADILAN Pusat Amizuddin Ahmat mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang menutup siasatan kes rasuah terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin walhal agensi itu sebelum ini mengakui terdapat asas untuk meneruskan kes tersebut.

"Adakah kerana antara pemimpin yang dimaksudkan sudah berhenti memegang jawatan dan masuk Umno, kes ini lalu terhenti dan ditutup?

"Adakah kes ini akan dikatakan tidak cukup bukti untuk meneruskan pendakwaan hanya kerana yang terlibat sudah melompat parti?" tanya Amizuddin.

Semalam SPRM Pulau Pinang memanggil Amizuddin yang juga Ketua AMK Kepala Batas berhubung surat yang dihantar kepada Pengarahnya Datuk Latifah Md Yatim.

Surat tersebut bertanyakan mengenai status siasatan penyelewengan kes kuari di negeri itu yang membabitkan bekas Mohammad Fairus.

Amizuddin merupakan pemberi maklumat dan pernah dipanggil SPRM untuk memberikan bukti berkenaan kes rasuah melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 itu.

Pada 27 Februari 2009 beliau mendedahkan penyelewengan dua pemimpin KEADILAN negeri kerana menerima rasuah daripada syarikat kuari di Seberang Prai.

Beliau yang ketika itu Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) mendakwa memiliki bukti berbentuk sistem pesanan ringkas (SMS) dan slip bank berkaitan kemasukan wang ke akaun peribadi mereka.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Amizuddin berkata beliau ke kompleks SPRM Pulau Pinang dengan ditemani Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Badrul Hisham Shaharin dan Ketua AMK Pulau Pinang Amir Ghazali.

SPRM dalam responnya kepada Amizuddin berkata siasatan di peringkat SPRM Pulau Pinang telah selesai dan kes itu telah dirujuk kepada ibu pejabat di Putrajaya.

Menurut Amizuddin, Latifah memberitahu beliau kes berkenaan bukan lagi di bawah bidang kuasa SPRM Pulau Pinang.

"Beliau kata kes itu bukan bidang bawah kuasanya lagi kerana kes itu telah diserahkan kepada SPRM Putrajaya. Jika mereka kata siasat, akan siasat, jika kata tutup (kes itu) maka tutup," ujarnya.

Amizuddin berkata Latifah berjanji untuk memberikan jawapan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan dalam surat beliau dalam tempoh dua minggu.

Suara Keadilan sebelum ini menyiarkan kenyataan Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyifatkan tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno mengesahkan persepsi rakyat bahawa wujud kompromi di antara beliau dan SPRM supaya tidak peneruskan pendakwaan ke atasnya.

Ini terbukti apabila beliau menyertai Umno hanya dua minggu selepas pengumuman SPRM dibuat.

Pada 12 Februari lalu SPRM telah menutup siasatan lapan kes berprofil tinggi termasuk kes rasuah Mohammad Fairus.

No comments:

Post a Comment