Tuesday, April 13, 2010

TOk guru dah restu dah,,,, selamat berjuang la,,,

Zaid Ibrahim Dipilih Calon PKR Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 13 April (Bernama) -- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Pemilihan Zaid, 59, anak kelahiran Kelantan yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, diumumkan oleh Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Komuniti Serendah di sini malam Selasa.

Turut hadir pemimpin-pemimpin kanan PKR, PAS dan DAP.

Zaid, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, merupakan seorang peguam dan pengasas firma undang-undang Zaid Ibrahim & Co pada 1987.

Pada pilihan raya umum 2004, Zaid mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kota Baharu, tetapi tidak dipilih untuk pilihan raya 2008.

Bagaimanapun, dia dilantik menyertai Kabinet Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 melalui jawatan senator.

Beliau, bagaimanapun, meletakkan jawatannya sebagai senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang pada penghujung 2008 sebagai tanda protes penahanan Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamaruddin dan pemberita akhbar bahasa Mandarin Tan Hoon Cheng.

Zaid kemudiannya menyertai PKR pada Jun 2009 selepas dipecat daripada Umno pada Dis 2008, atas sebab-sebab tertentu, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

BN dijangka mengumumkan calonnya Khamis ini bagi kawasan parlimen itu yang kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Penamaan calon adalah pada Sabtu ini.

Sementara itu, Zaid berkata beliau yakin akan diterima oleh pengundi dan menjadi suara bagi rakyat di Hulu Selangor.

Beliau berkata ini adalah kerana beliau bukan orang luar tetapi telah bermastautin di Selangor sejak 30 tahun lepas.

"Saya terima tawaran ini dengan penuh kesedaran dan insaf," katanya ketika berucap selepas diumumkan sebagai calon PKR.

Katanya pemilihan beliau itu turut mendapat restu daripada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dihubungi di Mekah dan meminta semua jentera parti bekerja keras untuk memastikan kemenangan kepadanya.

No comments:

Post a Comment