Friday, May 14, 2010

mcm mcm taktik depa no,,kuang ajaq,,,





Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mendakwa kesalahan disabitkan hari ini bermotifkan politik dan bertujuan “mendiamkan” beliau.

Wakil rakyat penggal pertama ini didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

Beliau dikenakan hukuman ini ketika seorang lagi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat, Wee Choo Keong dari Wangsa Maju meninggalkan PKR.

Sejak Februari lalu PKR sudah kehilangan enam kerusi Parlimen termasuk seorang dipecat dan gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor bulan lalu.

“Ini (hukuman) sesuatu yang karut dan tidak boleh percaya,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Gobalakrishnan berkata beliau sebenarnya pergi untuk membantu 27 lelaki yang ditahan polis ketika insiden beliau ditahan.

“Saya merayu bagi pihak mereka kepada polis tetapi saya ditahan bersama mereka,” katanya.

Lelaki-lelaki lain tidak didakwa di mahkamah.

Gobalakrishnan bukan sahaja didakwa dan didapati bersalah, kemungkinan hilang kerusinya di Parlimen.

“Saya akan merayu dan berlawan dengan menggunakan semua ruang yang ada,” katanya.

Gobalakrishnan juga berkata tindakannya itu satu usaha pihak berkuasa untuk mendiamkan beliau.

Beliau bertekad untuk mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk memberitahu rakyat apa yang terjadi.

Mahkamah Majistret mendapati Gobalakrishnan bersalah mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada 2002.

Majistret Ainol Bashirrah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap anggota Parlimen itu.

Gobalakrishnan dituduh dengan sengaja menghalang Cif Inspektor V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di sini kira-kira pukul 12.20 tengah malam 29 Jan 2002.

Beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong PKR daripada menari ketika sambutan Thaipusam di George Town.

Berdasarkan Perkara 48, Perlembagaan Malaysia, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakannya apabila telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Ahli Parlimen itu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dan dikehendaki membayar denda pada hari ini juga.

No comments:

Post a Comment