Monday, May 3, 2010

memang dia tak bleh pun,,,

Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan dengan segera berikutan kelemahan serta kegagalan beliau menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara terutama sekali apabila peningkatan kadar jenayah semakin berleluasa.

Tunku Abdul Aziz berkata desakan itu juga dibuat berhubung kenyataan Musa yang mengugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada 26 April lalu.

Katanya, reaksi Musa itu sekaligus melambangkan sikapnya yang tidak boleh menerima kritikan orang lain apabila sesuatu isu berhubung keselamatan awam mahupun kelemahan institusi Polis DiRaja Malaysia dibangkitkan.

"Dia ni memang tak boleh terima kritikan langsung. Kalau kita buat apa-apa kritik, dia terus mengugut untuk menarik balik anggotanya daripada menjalankan tugas. Ini jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang tak boleh menerima kritikan orang lain sedangkan tugas utama beliau adalah menjaga keselamatan negara. Dia ingat institusi polis dia yang punya," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini selepas sidang Dewan Negara.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz turut mengkritik peranan PDRM yang sebelum ini memaklumkan bahawa kadar jenayah di Malaysia berjaya diturunkan sedangkan hakikat sebenar berlaku sebaliknya.

"Apa yang dia cakapkan bahawa kadar jenayah telahpun menurun adalah tidak betul. Jika kita tengok masa sekarang di tempat dan kawasan yang kita tinggal baik di bandar mahupun di kampung jenayah semakin bertambah.

"Saya baru balik dari Tawau dan Tawau paling banyak berlaku jenayah di Malaysia dan sekarang banyak bandar dan kampung di Semenanjung dah jadi macam Tawau juga," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara meletakkan jawatan dan posisinya digantikan oleh orang lain yang lebih layak.

"Dah nak bersara lagi enam bulan bagi jadi KPN, lepas itu apa dia (kementerian) buat sambung balik lagi setahun dua tahun, tak guna. Kita mahukan orang lain yang lebih bagus daripadanya. Kalau dia mudapun sekalipun kita tak peduli, sekurang-kurangnya bagi dia peluang dalam jangka lima tahun untuk merubah dan memperbaiki sistem polis yang sememangnya dah teruk.

"Kalau kita masih lagi mempertahankan KPN yang bersikap sebegini, saya ingat negara kita akan jadi lebih teruk daripada sekarang," katanya lagi.

Terdahulu bercakap dalam sidang media yang sama, Senator S Ramakrishnan menggesa PDRM mengemukakan satu sistem prosedur yang berkesan bagi menangani kes tembakan oleh anggota polis.

"Walaupun KPN telah bersetuju untuk menubuhkan satu inkues tetapi perkara ini mestilah dibincangkan juga memandangkan pada tahun 2008 juga 2009 ada kes yang langsung tidak disiasat.

"Berapa banyak kes orang awam mati ditembak polis sebelum ini dan sehingga sekarang kejadian seperti ini masih berterusan sehingga melibatkan remaja berusia 14 tahun.

"Ini bukan kejadian pertama kali berlaku. Sudah banyak kali dan sehingga sekarang tiada apa-apa siasatan. Ini menunjukkan polis tidak cekap. Sepatutnya sebaik sahaja selepas tembakan berlaku, siasatan segera hendaklah dijalankan," katanya.

Ramakrishnan bakal membentangkan usul tergempar berhubung kes kematian Aminulrasyid di Dewan Negara esok.

Menurutnya, tujuan usul berkenaan adalah bagi menyegerakan kes tersebut supaya disiasat secara profesional dan telus serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment