Pages

Sunday, June 20, 2010

JI: Hishammuddin dakwa kenyataan Anwar ‘gila’..ha..ha..sape yg gila sekarang..???

Hishamuddin:'satu kenyataan yang saya percaya telah menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang berada di dalam keadaan tertekan'
KLUANG, 20 Jun — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan yang “gila dan tidak bertanggungjawab” berhubung ancaman kumpulan pengganas di negara ini. Beliau berkata kenyataan Anwar bahawa pendedahan tentang ancaman kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) baru-baru ini merupakan cubaan pihak kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat langsung tidak boleh diterima.
“Ia merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab langsung, satu kenyataan yang saya percaya telah menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang berada di dalam keadaan tertekan, di mana kita tidak boleh mendedahkan (maklumat tentang keselamatan) kepada khalayak ramai,” katanya.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Semberong berkata polis berbuat apa sahaja untuk memastikan rakyat negara ini termasuk Anwar “dapat tidur lena pada waktu malam.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Semberong di Taman Sri Lambak di sini, yang dirasmikan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Khamis lepas, Anwar dilaporkan berkata isu mengenai JI hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.
Kerajaan kata Hishammuddin tidak tergamak untuk mempermain-mainkan isu keselamatan negara dan dakwaan Anwar itu hanya membuktikan bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup “berkata dan berbuat apa sahaja” untuk menidakkan tindakan serta kejayaan kerajaan.
“Jikalau itu pun dia (Anwar) boleh tuduh kita mereka-reka, satu hari nanti jika JI (Jemaah Islamiah) meletup dekat rumah dia, itu pun dia akan tuduh Umno juga,” katanya.
Sementara itu beliau juga mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk menjelaskan sama ada bekas pemimpin PKR seperti Dr Halili Rahmat, Dr Chandra Muzaffar dan Sallehuddin Hashim turut ditawarkan RM2 juta untuk keluar daripada parti pembangkang.
“Kesemua mereka mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, tetapi mereka bukan wakil rakyat. Kita hendak tahu sama ada tuduhan yang serupa turut dilemparkan terhadap mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat meletakkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa daripada terpengaruh dengan dakyah pembangkang berhubung isu militan JI.
Beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang benar dan bukanlah perkara yang diada-adakan untuk mengalih perhatian rakyat seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Isu itu (militan JI) merupakan soal keselamatan negara dan sememangnya kerajaan mengetahui mengenai adanya penglibatan daripada kalangan pensyarah kanan di universiti tempatan dalam kegiatan militan tersebut.
“Jadi sebab itulah kita mesti percaya dan yakin bahawa ini satu ancaman dan kita serah kepada pihak berkuasa sebab pihak berkuasa kita terutama sekali pihak polis dan anggota perisik memang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman JI dan kumpulan militan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pembinaan Limbungan Kapal NGV Tech Sdn Bhd sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Bagan Datoh hari ini.
Najib berkata berdasarkan keberkesanan tugas yang dilakukan pihak keselamatan dalam menangani isu-isu keganasan, kerajaan dapat menghindarkan sebarang insiden yang meragut nyawa dan kerosakan harta benda seperti yang berlaku di negara-negara lain.
Beliau berkata, segala tindakan yang dilakukan adalah untuk tujuan pencegahan kerana tidak mahu menyesal nanti dan kerajaan dipersalahkan kononnya tidak mengambil langkah pencegahan.
“Jadi kita mesti ada kepercayaan kepada anggota polis dan pihak berkuasa yang terlibat menjaga keselamatan negara bahawa mereka mampu menghindar negara kita daripada sesuatu yang berlaku.
“Kalau kita meragui perkara ini dan kalau sesuatu berlaku (nanti) kita akan menyesal dan bila berlaku kerajaan pula akan dipersalahkan kononnya kita tidak mengambil tindakan pencegahan tapi bila kita ambil tindakan pencegahan mereka kata pula kita ada-adakan isu ini,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dimainkan pembangkang kerana mereka hanya cuba mengeksploitasi sesuatu isu tanpa memikirkan fakta demi keuntungan politik.
“Jadi ini sengaja dimainkan parti pembangkang. Biasalah... kita buat pun mereka kata kita tak betul, kita tak buat pun dia kata kita tak betul. Jadi rakyat mesti faham ini politik,” kata Najib.

No comments:

Post a Comment