Tuesday, April 24, 2012

Mahathir kata, yang pandai menyertai PAS, yang bijak menyertai PKR dan yang pintar menyertai DAP : Oleh Aspan Alias


Memang sudah menjadi adat dan cara hidup semua bangsa dan agama mengenang jasa dan budi orang itu memang menjadi tuntutan. Hidup tidak mengenang budi ‘ibarat kacang lupakan kulit’. Itulah perbilangan Melayu yang semua orang tahu. DAN sememangnya orang Melayu mengenang jasa.
Hanya sekarang politik tidak dapat membezakan antara siapa yang patut mengenang jasa dan siapa yang telah memakan jasa. Itulah sekarang menjadi tuntutan Najib apabila beliau melawat Pulau Pinang dua hari yang lepas. Najib seperti pemimpin UMNO yang lain sentiasa menuntut orang Melayu dan rakyat untuk mengenangkan jasa UMNO dan pemimpin-pemimpin besarnya yang telah lalu dan yang sedang berkuasa pada hari ini.
Katanya kita mesti ingat kepada jasa Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad serta Abdullah Badawi. Mereka ini semuanya berjasa kepada orang Melayu dan negara, kata Najib. Kata-kata Najib itu ada benarnya tetapi mengenang jasa itu biarlah bertempat dan kena pada orangnya serta tepat pada sasaran di mana jasa itu dikenang. Kita tidak boleh mengenangkan jasa kepada mereka yang tidak berjasa seperti mereka yang telah membinasakan perjuangan dan tamadun bangsa kita sendiri.
Saya  berpendapat  Dr Mahatnir sepatutnya mengenang budi parti yang telah mengangkat beliau ke mercu kekuasaan, tetapi Mahathir menggunakan kuasa hasil daripada mengenang jasa orang Melayu dengan membinasakan parti itu pada suatu ketika dahulu. Jasa parti itu besar kepada beliau tetapi beliau tidak mengenangnya kerana beliau merasakan ahli-ahli UMNO tidak lagi mahu lagi mengenang jasanya.
Beliau tidak mahu menerima yang ahli-ahli UMNO sudah keberatan untuk memberikan jasa lagi kepada beliau kerana sebab-sebab yang kita dengar semasa ramai dari ahli-ahli UMNO mahukan beliau dibersarakan setelah memberikan jasa yang begitu besar kepada beliau. Justeru beliau telah membiarkan UMNO itu mati walaupun kuasa yang diberikan rakyat kepada beliau boleh menyelamatkan parti itu daripada terkubur.
Beliau adalah Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri semasa itu yang sepatutnya menggunakan kuasa yang ada kepada beliau mengikut Akta Pertubuhan 1965 sek 70 yang membolehkan beliau menggunakan kuasa itu untuk menghidupkan mana-mana pertubuhan yang diharamkan oleh mahkamah. Beliau enggan menggunakan akta itu kerana  beliau mahukan UMNO itu  mati terus dan menggantikannya dengan parti baru yang menggunakan nama ‘UMNO’ yang keramat itu.
Maka wujudlah satu parti yang meminjam nama UMNO yang telah terkubur itu. Apa yang hendak diterima kasihkan kepada pemimpin-pemimpin seperti ini? Kenapa hendak memaksa orang ramai khususnya orang Melayu yang berjiwa tulen dalam perjuangan mereka untuk mengenang ‘jasa’ yang seperti ini? Inikah dia yang dinamakan jasa?
Selepas dan bermula dari saat itu kita tidak lagi mempunyai pemimpin-pemimpin yang jujur untuk perjuangan selain daripada memperjuangkan untuk mengisi perut dan keluarga masing-masing. Pemimpin-pemimpin berkomplot sesama sendiri untuk naik takhta kepimpinan dan melakukan perkara-perkara yang menjadi persoalan kepada rakyat. Masalahnya rakyat begitu perlahan untuk sedar tentang perlakuan yang telah merosakkan keseluruhan ‘fabric’ politik orang Melayu khususnya dan rakyat amnya. Hanya sekarang baru ramai rakyat telah sedar dan mereka memulakan langkah untuk bertindak melawan arus yang deras ini.
Dalam keadaan inilah Najib dan barisan pimpinan mundar-mandir untuk memujuk kembali rakyat menyokong mereka. Najib telah menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita sedar yang apa yang dijanjikan oleh UMNO sejak 54 tahun yang lalu masih menjadi janji dan isu pada masa ini.
Janji untuk memajukan kaum Melayu tidak pernah tercapai walaupun setiap pilihanraya isu memajukan orang Melayu menjadi bahan kempen pihak BN dan UMNO. Tiada UMNO Melayu akan mati, kata mereka. Tetapi Melayu wujud sebelum UMNO wujud lebih-lebih lagi kewujudan UMNO baru yang lebih muda dari anak bongsu saya. Bagaimana Melayu hendak memberikan keyakinan jika masa lima dekad tidak mampu untuk menambah equiti bumiputra misalnya.
UMNO hanya melalui kegiatan siasahnya dengan slogan besar-besar tetapi tidak ada pun satu daripada slogan yang diwarwarkan itu membuahkan hasilnya. Semasa slogan Bersih, Cekap dan Amanah dahulu tiada satu yang bersih, tiada nampak kecekapannya dan jauh sekali ada sifat amanah kepada bangsa Melayu kita. Malahan zaman itulah rasuah mula menjadi-jadi dan masa itu jugalah bermulanya berlakunya noda-noda berlaku terhadap politik dan ekonomi negara.
Kata orang, keruh air di hulu keruhlah air di hilir. Kekalutan zaman inilah yang menyebabkan kita mendapat warisan yang kita lihat pada hari ini. Kekalutan yang begitu parah yang rakyat hadapi hari ini tidak mungkin bermula pada zaman Pak Lah. Ianya bermula setidak-tidaknya 20 tahun sebelum kekalutan itu sampai ke tahap hari ini. Tidak adil kita letakkan kesalahan itu kepada Pak Lah kerana siapa yang melantik Pak Lah itu wajib bertanggungjawab bersama-sama.
Apa yang hendak kita katakan lagi jika Mahathir sendiri berkata, yang pandai menyertai PAS, yang cerdik menyertai PKR dan yang pintar menyertai DAP. Kata-kata itu bukannya datang daripada pemimpin-pemimpin dalam komponen PR tetapi dari mulut Dr Mahathir sendiri. Kalau begitu kata Mahathir, yang bodoh itu menyertai parti apa?

No comments:

Post a Comment