Pages

Sunday, January 24, 2010

Rexy Mainaky Menangis Kean Keat-Boon Heong Juarai Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kemenangan pasangan beregu lelaki negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong menjuarai Terbuka Malaysia turut membuatkan ketua jurulatih beregu negara Rexy Mainaky mengalirkan air mata.

"Saya menangis kerana saya benar-benar mahu Kean Keat-Boong Heong atau pasangan lain memenangi kejuaraan. Juga terdapat banyak cakap-cakap tentang ketidakupayaan saya sebagai ketua jurulatih.

"Saya telah melakukan sedaya upaya saya untuk Malaysia. Tetapi orang tidak tahu apa yang berlaku. Saya sebenarnya sangat gembira bekerja dan tinggal di Malaysia," katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasangan nombor satu dunia itu memenangi kejuaraan setelah menewaskan pasangan pilihan keenam kejohanan Guo Zhendong-Xu Chen dari China.

Kean Keat-Boon Heong menang set pertama 21-15 tetapi tewas di set kedua 17-21 sebelum kembali melonjak di set ketiga 21-16 bagi memenangi kejohanan buat kali kedua.

Mereka pertama kali memenangi kejohanan pada 2007.

"Secara keseluruhan, saya lebih fokus dan berasa lebih selesa berbanding semalam. Saya lebih yakin bermain di jaring. Kemenangan ini penting kerana ia memberi kami keyakinan untuk menghadapi All England dan Terbuka Swiss selepas ini," kata Boon Heong.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment