Saya ingin beri keterangan di mahkamah - Saiful
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pengadu kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya berharap beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah bagi menyelesaikan kes itu yang telah tertangguh beberapa kali.Menurutnya, sejak hari pertama Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, kira-kira 20 kali perbicaraan ditangguhkan kerana pelbagai permohonan yang dibuatnya.
"Selama ini, hanya 'satu' sahaja permintaan saya iaitu untuk memberi keterangan di mahkamah. Namun, setelah sekian lama saya menanti dengan sabar, beliau masih berusaha sedaya upaya untuk menafikan 'hak' saya,'' katanya dalam blog beliau, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Mengulas laporan akhbar hari ini mengenai 'Rayuan terakhir Anwar gagal' beliau bagaimanapun berkata, semua pihak akan menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2 Februari ini sama ada permohonan penangguhan Anwar diterima atau sebaliknya.
"Akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah," katanya.
Menurut laporan akhbar, Anwar sekali lagi gagal dalam rayuannya supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.
Usahanya itu menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.
Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menolak rayuannya berpendapat, Anwar tidak layak dibekalkan dokumen-dokumen tersebut kerana perbicaraan belum dimulakan.
Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting itu.
Bagaimanapun, perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya didengar Selasa depan di Mahkamah Tinggi masih tidak dapat dimulakan setelah Anwar mengemukakan penangguhan saat akhir, kelmarin.
Beliau memohon penangguhan atas alasan rayuan berhubung penolakan terhadap permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.
Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas Anwar supaya dibekalkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 25, yang juga pengadu kes.
Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. - Utusan
No comments:
Post a Comment