“Orang Muda Geng Kita”, Mat Rempit Turut Di Jemput
Permaisuri, SETIU – PAS Kawasan Setiu sedang giat menjalankan usaha menarik golongan muda melalui kempen menambah keahlian baru yang akan digerakkan, khususnya oleh sayap pemuda.
Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda berkata, pihaknya akan bergerak seiring dengan gelombang penerimaan golongan muda terhadap PAS, yang semakin menggalakkan sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, beliau percaya gelombang penerimaan luar biasa yang berlaku sekarang adalah satu peluang untuk PAS Setiu menokok seramai mungkin ahli menerusi keahlian Pemuda.
“Kita akan gerakkan usaha mendaftarkan seramai mungkin keahlian Pemuda pada program yang akan dimulakan di markas pilihan raya PAS di Kampung Bari pada bulan depan.
“Dengan usaha ini, kita berharap penyertaan golongan muda sebagai ahli Pemuda berdaftar semakin bertambah,”ujarnya ketika ditemui selepas program ‘ Tanggungjawab Sosial Korporat’ Corporate Sosial Responsibility (CSR) kakitangan Petronas Bahagian Operasi Loji GPP 5/6, di Surau Mujahidin, Merang dekat sini.
Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Pauzi (gmbar kanan) berkata, pihaknya juga berharap jawatankuasa Pemuda kawasan tidak hanya tertumpu dalam usaha mencari keahlian baru, tetapi dapat memastikan ahli lama dapat memperbaharui keahlian.
Sehubungan dengan itu, Setiausaha Pemuda PAS Setiu, Zaidan Abdullah optimis ‘program gempur’ melalui DUN dan Cawangan akan dapat mencapai sasaran menambah keahlian baru pemuda.
“Pertemuan dan perbincangan telah dibuat melalui ‘Gempur Orang Muda Geng Kita’, kita yakin sekurang-kurangnya 20 cawangan sasaran dapat menambahkan ahli-ahli baru pemuda,
”Kehadiran mereka ke Program yang akan diadakan di Bari Besar pada 29 Januari ini menjadi kayu ukur,”jelasnya ketika dihubungi.
Beliau turut menjemput dan mempersilakan semua pemuda tidak kira siapa sahaja, untuk hadir dan memeriahkan program tersebut.
”Bagi yang minat bolasepak, kita akan adakan perlawanan persahabatan dan pertandingan, bagi yang suka ‘merempit’, ada pakej istimewa untuk mereka menyertai Kelab Permotoran Alternatif (Alternative Riding Club - ARC),”ujarnya.
Menurutnya, ARC peringkat Setiu akan dilancarkan dalam program tersebut, yang akan memberikan faedah kepada ahli-ahlinya melalui menunggang motosikal secara berhemah dan bermanfaat.
Selain itu, ahli-ahli ARC akan mendapat tunjuk ajar, bagaimana menjaga dan menunggang motosikal dari segi keselamatan fizikal motosikal itu sendiri, serta keselamatan penunggangnya.
No comments:
Post a Comment