Pages

Wednesday, February 10, 2010

Pabila "haram" bersuara

Pembangkang Tidak Perlu Letak Syarat Jika Ikhlas, Kata Zambry

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pembangkang seharusnya tidak meletakkan pelbagai syarat dan permintaan sekiranya mereka ikhlas untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata isu itu juga seharusnya tidak ditimbulkan pembangkang kerana sudah menjadi polisi kerajaan untuk sentiasa bekerjasama dengan semua dan membantu rakyat tanpa mendiskriminasikan mana-mana pihak.

"Tak perlulah memberi syarat dan tekanan. Kita perlu ikhlas untuk membantu rakyat kerana sasaran dan matlamat kita yang utama ialah membantu rakyat. Bukannya dengan memberi syarat atau memberi ugutan itu dan ini.

"Mereka pun tahu waktu zaman mereka memerintah, apa yang mereka buat, tetapi saya tidak mahulah mengikut apa yang mereka lakukan. Membantu rakyat jelata, itu yang menjadi kayu pengukur antara kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Zambry berada di sini kerana mengiringi Sultan Perak Sultan Azlan Shah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-220 di Istana Negara sejak Selasa.

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa permintaan yang dikemukakan pembangkang sebelum mereka bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Semalam, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata parti gabungan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mahu kerajaan negeri yang dipimpin Zambry memenuhi beberapa tuntuan mereka.

Ini termasuk membenarkan mereka menggunakan kemudahan dewan orang ramai, menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah serta memberi peruntukan kewangan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.

Mohammad Nizar berkata gabungan parti pembangkang itu bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Zambry juga tidak menolak kemungkinan permintaan tersebut hanyalah sebahagian taktik pembangkang untuk mengheret kerajaan negeri kepada satu permasalahan baru dan menjadikannya sebagai isu politik sekiranya kerajaan menolak permintaan tersebut.

Beliau juga mempersoalkan kejujuran pembangkang dalam membuat tuntutan tersebut dan kerajaan negeri, katanya tetap berhati-hati dalam soal memberi bantuan kewangan kerana bimbang digunakan untuk kepentingan politik berbanding membantu rakyat.

"Mereka perlu lihat kepada niat mereka yang sebenarnya. Untuk apa kita menjadi seorang ahli politik dan kita memegang tampuk kuasa itu untuk apa. Jika jelas, maka tak perlulah diletakkan syarat itu dan ini," katanya.

Zambry bagaimanapun menyatakan kerajaan negeri tetap menyambut baik kesediaan pembangkang untuk bekerjasama dengan pentadbirannya tetapi mahu pembangkang ikhlas dalam menghulurkan bantuan dan mengotakan janji yang dibuat.

"Baguslah dia nak kerjasama. Sebab selama ni pun kita tak pernah tak bagi kerjasama cuma kita nak beliau kena kotakanlah. Selama ini pun kita tak pernah bergaduh. Saya sendiri pun tak pernah bergaduh dengan dia (Mohammad Nizar) malah tak pernah bergaduh dengan semua orang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment