Pages

Saturday, May 29, 2010

patut la depa dia minta lesen judi,, sudah pecah la,,

Cardiff milik usahawan Malaysia


PETER WHITTINGHAM... menjadi perancang penting di dalam skuad Cardiff City.


SEJARAH bola sepak Malaysia terlakar di bumi Cardiff, Wales apabila tokoh korporat negara, Tan Sri Vincent Tan dan rakan perniagaannya, Datuk Chan Tien Ghee tanpa diduga membuat keputusan mengambil alih kelab bola sepak Cardiff City.

Tanpa sebarang publisiti besar-besaran, kedua-dua mereka membuktikan tiada apa yang mustahil buat anak Malaysia dengan berjaya memiliki sebuah kelab yang beraksi di Liga England.

Penulis yang berkesempatan mengikuti delegasi media ke rumah kelab Cardiff dan Stadium of Cardiff mengakui kagum dengan segala kemudahan latihan serta stadium yang dianggarkan mempunyai jumlah aset kira-kira RM 429.7 juta (93 juta pound).

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan pengambil alihan kelab Cardiff adalah keputusan yang tepat dilakukan oleh Vincent dan Tien Ghee kerana ia boleh memberikan keuntungan jangka panjang kepada kepentingan bola sepak negara.

Walaupun mungkin status Cardiff yang beraksi di Liga Kejuaraan (Divisyen Dua) mungkin menjadi isu buat segelintir peminat bola sepak tempatan namun kelab ini sebenarnya begitu kompetitif.

Cardiff berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA 2008 dan telah berada di dalam saingan Liga Kejuaraan semenjak tahun 2003. Dave Jones, yang mempunyai pengalaman menguruskan Southampton dan Wolverhampton, menjadi tulang belakang kepada kejayaan kepada kelab yang diberi jolokan 'Bluebird'.

Pada musim hadapan, Cardiff dijangka menjadi antara calon pilihan untuk naik ke Liga Perdana England (EPL) selain Nottingham Forest, Leeds United, Middlesbourgh dan Hull City.

Kelab itu kini mempunyai beberapa nama besar seperti Michael Chopra, Joe Ledley, Peter Whittingham dan Jay Bothroyd.

Menurut Tien Ghee, selepas dilantik menjadi Pengerusi kelab, beliau mahu menerapkan amalan disiplin untuk menguruskan kewangan Cardiff agar kelab itu tidak lagi terjerumus dalam masalah hutang yang serius.

"Itu perkara pertama yang saya mahu lakukan di sini, saya juga tidak akan membeli pemain yang kita tidak mampu.

"Kelab ini perlu berada di dalam keadaan terbaik di dalam semua segi terutamanya membabitkan aspek kewangan, '' katanya.

Tambah menggembirakan, beliau secara berterus-terang bersedia untuk menerima mana-mana pemain remaja negara untuk berlatih di sana jika mereka berbakat demi masa depan pembangunan bola sepak negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu saya boleh menerima mereka jika berminat untuk berlatih dan menggunakan kemudahan di sini.

"Begitu juga jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berminat mahu menjalinkan kerjasama dengan kami, saya bersedia dan akan mengkaji segala syaratnya terlebih dahulu, '' katanya.

Satu lagi prospek menarik mengenai Cardiff ialah kelab itu mempunyai sebuah akademi remaja yang diiktiraf antara yang terbaik di Liga England.

"Sepanjang lima tahun lalu, kelab ini telah dapat menjual kira-kira RM138.1 juta (29 juta pound) hasil daripada bakat-bakat muda yang dihasilkan di akademi.

"Daripada situ, saya lihat kelab ini mampu bergantung kepada kekuatan pemain sendiri, '' katanya.

Beliau dan Vincent mengambilalih kelab Cardiff selepas membeli kepentingan saham kira-kira 36.7 peratus atau RM33.34 juta (7 juta pound) pada Disember lalu.

Mereka berdua juga akan menjelaskan hutang kelab kira-kira RM71.6 juta (15 juta pound sterling).

Tien Ghee menambah, kemudahan yang terdapat di Cardiff adalah setaraf dengan pasukan yang bermain di EPL.

"Kapasiti stadium adalah berjumlah 27,000 dan mampu memuatkan sehingga kira-kira 35,000 penonton secara maksimumnya.

"Jika kedudukan kewangan Cardiff mengizinkan, kami mungkin mahu membina keluasan stadium berkapasiti 70,000 penonton pada masa hadapan, '' katanya.

Sementara itu, Vincent berkata beliau bukanlah seorang yang gemarkan acara sukan terutamanya bola sepak namun segala itu berubah apabila Chan menemuinya sendiri dan berbincang untuk melakukan pelaburan di Cardiff.

"Pada mulanya, saya anggap itu satu idea gila kerana saya difahamkan nilai sebuah kelab di Liga England memang mahal dan nilai pelaburannya mencecah beratus-ratus juta pound.

"Malah, selepas pertemuan ketiga, barulah Chan dapat menyakinkan saya untuk membuat pelaburan di sini.

"Cardiff mempunyai kemudahan dan akademi remaja yang cukup bagus di samping saya lihat kelab ini boleh memberikan pulangan baik daripada segi perniagaan untuk jangka masa panjang, '' katanya.

Melalui pengalaman penulis, yang berpeluang ke Stadium Wembley menyaksikan perlawanan akhir penentuan ke EPL antara Cardiff dan Blackpool, rata-rata penyokong setia Bluebirds begitu teruja dengan pengambil alihan kelab tersebut.

Malah, lebih mengejutkan, terdapat bendera Jalur Gemilang berkibaran di Wembley semasa perlawanan berlangsung dan ramai penyokong setia mereka memakai pin yang tertera bendera kebanggaan rakyat Malaysia.

Apabila penulis mengambil kesempatan menegur beberapa penyokong Cardiff dan memberitahu dari Malaysia, mereka mengalu-alukan kedatangan penulis serta rakan-rakan media yang lain.

Situasi berkenaan cukup mengharukan dan secara tidak langsung membuatkan penulis berasa berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Walaupun harapan Cardiff untuk ke EPL musnah selepas dikecewakan oleh Blackpool, mungkin tahun depan bakal menjadi milik mereka jika berjaya mengekalkan tahap kecemerlangan musim ini.

Diharapkan, dengan pemilikan kelab Cardiff City ini, ia mampu memberikan sedikit sinar harapan buat sukan bola sepak negara untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment