Membasmi Kemiskinan Perlu Jadi Usaha Berterusan, Kata Muhyiddin
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis makan malam amal Yayasan SP Setia yang berjaya mengumpulkan RM5.87 juta, jumlah tertinggi yang dikumpul sejak yayasan itu ditubuhkan pada tahun 2000.
Majlis makan malam itu merupakan acara tahunan yang diadakan bagi tujuan mengumpul derma untuk membiayai projek-projek kebajikan dan program-program bantuan komuniti.
Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan SP Setia Tan Sri Lee Lam Thye, pemegang amanah yayasan Tan Sri Aseh Che Mat dan Presiden SP Setia Tan Sri Liew Kee Sin.
Dalam ucapannya pada majlis itu Muhyiddin berkata pembasmian kemiskinan perlu menjadi satu usaha yang berterusan yang dikongsi bersama, dengan diterajui olej sektor awam dan swasta.
Beliau turut memuji Yayasan SP Setia terhadap usahanya sejak 10 tahun lepas membantu golongan miskin dengan menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar yang memerlukan, dan memastikan mereka tidak disisihkan dari peluang-peluang pendidikan.
"Malaysia amat bernasib baik kerana memiliki warganegara yang pemurah dari segi berkongsi dan membantu kumpulan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa, budaya, dan agama.
"Kemiskinan bukan sesuatu yang seharusnya diwarisi dan bagi golongan muda yang terperangkap dalam kitaran kemiskinan ini, pendidikan adalah unsur penting bagi menghapuskan belenggu masalah ini, dan saya percaya yayasan ini memperolehi hasil yang cukup memberangsangkan menerusi 'Setia Adoption Program' (SAP) yang menyediakan peluang-peluang pendidikan kepada kanak-kanak miskin," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan mengakui bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk menangani isu-isu sosial kerana ia menyediakan peluang untuk mengubah nasib keluarga yang terlibat, di samping menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada kanak-kanak.
"Saya percaya usaha Yayasan SP Setia Foundation untuk membantu golongan yang memerlukan dalam negara ini seharusnya diteladani oleh syarikat-syarikat besar yang lain," katanya.
Sejak 10 tahun lepas, yayasan itu berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM40.79 juta untuk tujuan amal dengan kira-kira RM17.5 juta dibelanjakan buat SAP.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment