Pages

Tuesday, January 5, 2010

Dua akui tidak salah larikan enjin jet TUDM



kemaskini 10.05pm Seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini berhubung kehilangan dua enjin pesawat tempur F-5E milik angkatan tentera itu.

Pertuduhan ke atas anggota TUDM itu dibuat atas dakwaan bersubahat melakukan kesalahan curi dalam bangunan, manakala pengarah syarikat tersebut didakwa atas kesalahan menolong menghapuskan harta curi.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail malam tadi berkata siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur hasil persuhabatan sarjan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin pesawat itu yang diketahuinya merupakan harta curi.

Katanya, berdasarkan keterangan-keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang sedia ada beliau mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap kedua-dua tertuduh.

Abdul Gani berkata jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Kehilangan dua enjin itu dilaporkan berlaku pada 2007 ketika dibawa keluar dari Pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth, Pulau Pinang untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kehilangan enjin jet itu hanya disedari oleh tentera pada 22 Mei 2008, diikuti siasatan segera sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.

Enjin jet pejuang itu dipercayai dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Selatan.

No comments:

Post a Comment