Pages

Sunday, February 28, 2010

Gerabak Tergelincir Perkhidmatan KTMB Tergendala


KUALA KRAI, 28 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan tren antara Tumpat ke Gua Musang tergendala mulai Ahad malam selepas sebuah gerabak penumpang perkhidmatan kereta api tempatan tergelincir atas jambatan dekat Stesen Dabong, dekat sini.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman, berkata gerabak penumpang belakang membabitkan empat roda tergelincir pada pukul 5.15 petang ketika kereta api tempatan itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Tumpat.

Berikutan kejadian itu, katanya, perkhidmatan tren Ekspres Timuran dari Tumpat ke Singapura dan tren Ekspres Wau dari Tumpat ke Kuala Lumpur yang dijadualkan bertolak malam ini mengalami kelewatan sehingga kerja menarik gerabak terbabit selesai.

"Gerabak yang tergelincir itu mungkin ditarik secara manual kerana kejadian itu berlaku atas jambatan dan sukar bagi jentera mengangkatnya berikutan ruang yang sempit," katanya.

Ibrahim berkata apabila gerabak itu berjaya di tarik nanti, kerja penyelenggaraan landasan perlu disegerakan bagi memulihkan perkhidmatan tren ekspres.

"Namun, kita belum pasti pukul berapa kerja itu dapat disiapkan dan meminta semua penumpang perkhidmatan ekspres menghubungi stesen berhampiran untuk mengetahui perkembangan terkini," katanya.�

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment