ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah menunda pemilihan skuad Melayu Kedah yang sepatutnya bermula 5 Februari ini di Langkawi ke satu tarikh lain.
Pegawai Pembangunan Persatuan Bola Sepak Kedah, Muhamad Shakri Mat berkata, pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini terpaksa dibatalkan di atas sebab tertentu.
Menurutnya, pemilihan yang dijadualkan berlangsung di enam lokasi itu merupakan persiapan awal menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja tahun ini.
“Saya wakil persatuan memohon maaf kerana tarikh pemilihan itu terpaksa ditunda ke tarikh yang lain dan kami akan memberitahu kelak tarikh pemilihan baru yang bakal dijalankan.
“Penundaan tarikh ini dilakukan di atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan namun pemilihan pasukan akan tetap dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam kenyataan terdahulu Muhamad Shakri memaklumkan pemilihan bermula di Langkawi pada 5 Februari, Kulim Bandar Baharu (12 Februari); Kuala Muda dan Baling (13 Februari); Sik, Pendang dan Yan (18 Februari); Pokok Sena dan Kota Setar (20 Februari).
“Dengan penundaan ini kesemua jadual asal yang dinyatakan itu terbatal dan satu tarikh baru akan diumumkan kelak,” katanya.
Sementara itu, katanya, pemilihan yang bakal dijalankan itu terbuka kepada semua kaum dan keutamaan diberikan kepada anak jati Kedah.
Menurutnya, kriteria pemain bagi membentuk pasukan baru bola sepak Melayu Kedah ini dibuka kepada mereka yang berumur 25 tahun ke bawah.
No comments:
Post a Comment