Saturday, February 27, 2010

Semakin ramai menyokong Anwar

Bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin menjadi pemimpin terbaru menyertai gelombang antarabangsa membantah pertuduhan konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyusul pemimpin-pemimpin dan ulamak dunia Islam beserta Ahli Parlimen Australia dan Pengerusi Senat Hal Ehwal Luar Negara Amerika Syarikat John Kerry yang menyifatkan pertuduhan itu sebagai satu lagi cubaan menamatkan kerjaya politik Anwar.

Martin, menggesa kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

“Jika mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang bermotifkan politik terhadap Anwar digugurkan,"katanya.

Martin berkata Anwar harus bebas untuk meneruskan visinya melahirkan Malaysia sebuah negara demokratik, yang menghormati hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

Martin adalah Perdana Menteri Kanada dari 2003 hingga 2008 selain menjadi ahli Parlimen selama 20 tahun. Beliau juga menjadi Menteri Kewangan dari 1993 hingga 2002.

Martin berkata, kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengikuti perbicaraan Anwar adalah tanda keprihatinan masyarakat asing tentang pertuduhan fitnah yang dikenakan ke atas beliau untuk kali kedua sejak 1998.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

Sebelum itu lebih 50 ahli parlimen Australia turut menggesa kes Anwar digugurkan kerana ada tanda tanda jelas ia konspirasi politik.

Turut menyuarakan bantahan terhadap pertuduhan itu adalah ulamak-ulamak tersohor antarabangsa seperti sheikh Dr Yusuf Qaradawi.Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak lagi mampu menangani merebaknya bantahan antarabangsa yang mempertikai kewibawaan sistem kehakiman negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demontrasi yang didalangi Umno BN di kedutaan Australia 17 Februari lalu tidak mungkin berulang kerana semakin banyak negara menyatakan bantahan termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Turki dan beberapa negara serantau.

Dengan nada tegas, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengingatkan semua pihak supaya mengambil kira bantahan antarabangsa terhadap amalan sistem perundangan di Malaysia.

Beliau berkata demikian depan lebih 10,000 pengunjung program Rumah Terbuka PKR di Bandar Utama, Damansara hari ini, yang turut dihadiri ramai duta negara termasuk India, Singapura dan Filipina.

"Sebab Australia cakap, mereka buat demonstrasi. Tapi Amerika juga buat kenyataan, jadi saya cadang buat tunjuk perasaan. Kemudian Turki berkawan dengan kita, kena buat demonstrasi lawan Turki pula.

"Semalam, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin tulis surat terbuka, maka kena tunjuk perasaan Kanada. Hari ini ramai wakil duta dari Filipina, Singapura datang sokong kita, jadi mereka kena buat demonstrasi.

"...jadi, kerja mereka hanya tunjuk perasaan kerana negara lain tetap mahu juga bercakap tentang kita," katanya.

Anwar menyatakan cara Umno-BN berpolitik sudah ketinggalan zaman hingga menyebabkan imej Malaysia di mata dunia semakin menjunam dan tidak lagi dihormati seperti dulu.

Katanya, pandangan masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dinilai sebagaimana kritikan Malaysia dalam isu tuntutan pembebasan Aung San Suu Kyi dan kecaman negara penganiayaan rakyat Palestin.

"Sebab apa kita minta Aung San Suu Kyi dibebas? Sebab kita hormati prinsip kebebasan, hak asasi tanpa kira kaum, agama. Sebab apa kita sedih bila lihat rakyat Palestin dibom? Sebab kita tahu tanggungjawab kita sebagai manusia."Jadi, kalau orang lain bagi pendapat, kita dengar, kena nilai. Adakah betul atau tidak," katanya

No comments:

Post a Comment