Monday, March 22, 2010

Anwar tidak peduli kata dua BN, pertahan kenyataan 1 Israel


KUALA LUMPUR, 22 Mac — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan kenyataannya di Parlimen minggu lalu bahawa APCO Worldwide pernah menyediakan khidmat kepada pentadbiran bekas perdana menteri Israel Ehud Barak pada akhir 1990-an.

Ketika ditemui wartawan beberapa jam selepas kata dua Barisan Nasional (BN) agar menjelaskan kenyataannya dalam seminggu, Anwar berkata beliau akan memberikan penjelasan kepada Speaker Parlimen secepat yang mungkin.

“Saya akan memberikan penjelasan dan penjelasan saya akan berdasarkan respons perdana menteri pada 18 Mac,” kata Anwar (gambar) merujuk kepada jawapan bertulis Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, yang mengakui bahawa “APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik untuk memberikan perkhidmatan perhubungan awam secara total.”

Pagi tadi Dewan Rakyat meminta Anwar memberikan penjelasan berhubung dakwaannya Rabu lalu bahawa konsep 1 Malaysia diciplak daripada inisiatif 1 Israel dan ia dirangka oleh APCO.

Firma khidmat perhubungan awam itu bagaimanapun menafikan dakwaan Anwar, menyebabkan BN mengambil langkah untuk merujuk Ketua umum Pakatan Rakyat itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Saya akan menjelaskan sebab APCO sebenarnya menyediakan khidmat di Israel pada masa itu,” kata beliau.

“Sebenarnya mereka dibayar untuk menafikan, tetapi biar saya berikan fakta,” kata Anwar mengulas penafian APCO.

“Tetapi saya juga akan meminta diberikan penjelasan siapakah APCO, berapa banyak dibayar dan apakah peranan dimainkan oleh APCO dalam khidmat komunikasi dan apakah nasihat diberikan kepada pelbagai kementerian khususnya kementerian-kementerian strategik,” katanya.

Anwar berkata beliau terpaksa isu pembabitan APCO kerana dituduh sebagai ejen Yahudi.

“Saya menimbulkan isu APCO bukan kerana mereka Yahudi tetapi saya dituduh sebagai ejen Yahudi selama 12 tahun tanpa menyediakan bukti,” kata Anwar.

Anwar juga berkata pada masa lalu kerajaan Malaysia pernah mendapatkan khidmat pelobi Jack Abramoff untuk memperbaiki hubungan dengan Washington. - TheMalaysianinsider

No comments:

Post a Comment