Pages

Thursday, April 8, 2010

berani benjy cabar polis

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy semalam memfailkan permohonan writ habeas corpus bagi mencabar penahanan semulanya mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dua minggu lalu.

Permohonan itu difailkan peguam Amer Hamzah Arshad di Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam 12.15 tengah hari. Ibunya, seniwati Azean Irdawaty turut hadir.

Melalui notis usul dan afidavit yang diikrarkan dalam permohonan itu, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Benjy, 31, memohon perisytiharan penahanannya mengikut akta itu pada 25 Mac lalu tidak sah, salah dan berniat jahat. Sehubungan itu, pelakon berkenaan memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan dengan serta-merta dan tidak ditahan semula.

Selain notis usul dan afidavit berkenaan, Ameer Hamzah turut memfailkan perakuan segera bagi membolehkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan anak guamnya secepat mungkin.

Benjy ditahan semula tidak sampai dua jam selepas dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini pada 25 Mac lalu selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah methamphetamine seberat 0.24 gram.

Dia ditahan oleh dua anggota polis pada jam 2.50 petang sejurus ibunya membayar ikat jamin RM2,000 di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sementara itu, Azean ketika ditemui pemberita enggan mengulas berhubung kes Benjy, sebaliknya berkata: “Kepada mereka yang menganiaya anak saya, sampaikan salam saya kepada ibu anda,”

Terdahulu, Azean berkesempatan bertemu Benjy apabila tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret bagi sebutan semula kes berhubung tuduhan memiliki 0.24 gram dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada prosiding itu, Majistret Hafizza Sauni juga membenarkan permohonan Amer Hamzah untuk bertemu Benjy selepas beliau memaklumkan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada polis.

Amer Hamzah berkata, sejak Benjy ditahan semula beliau hanya berpeluang bertemu anak guamnya sekali saja pada 5 April lalu dan hanya dibenarkan berjumpa selama 10 minit.

“Setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk diwakili peguam dan penahanan semula Benjy selepas diikat jamin, jelas menunjukkan polis tidak mematuhi undang-undang serta lebih kepada perbuatan menghina mahkamah.

“Sejak Benjy ditahan, kami sudah menulis surat kepada polis untuk memohon kebenaran supaya tertuduh dibenarkan berjumpa peguam bagi tujuan persediaan kes ini, namun tiada maklum balas yang diterima,” katanya.

Amer Hamzah berkata, mahkamah perlu membenarkan beliau dan keluarga Benjy menemui tertuduh bagi menasihatinya berhubung prosiding kes itu dan mendapatkan arahan selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat bagaimanapun berkata, tindakan polis menahan semula Benjy adalah mengikut prosedur.

“Kes tahan semula biasa berlaku jika polis mendapat maklumat baru, malah polis juga sudah memberi penjelasan mengapa Benjy ditahan semula dan disebabkan itu saya menegaskan polis berada di landasan yang betul,” katanya.

Nurmadiana berkata, isu peguam Benjy tidak dapat bertemu tertuduh juga tidak timbul kerana prosiding semalam membabitkan kes pemilikan dadah, bukan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Hafizza kemudian membenarkan Amer Hamzah bertemu Benjy dan menangguhkan prosiding selama setengah jam.

Selepas pertemuan itu, Benjy yang pada awalnya memakai baju lokap polis, menukar pakaiannya kepada kemeja hitam dan Azean yang duduk di galeri awam menunjukkan isyarat tangan menandakan bagus terhadap anak lelaki tunggalnya itu.

Hafizza menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula kes itu dan membenarkan permohonan Amer Hamzah untuk mengemukakan representasi kepada pihak pendakwa supaya tuduhan dikaji semula.//bharian

No comments:

Post a Comment