Pages

Monday, April 5, 2010

Dr Asri nafi sertai politik ataupun pilihan raya


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 April: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menafikan laporan beliau bercadang untuk menyertai parti politik ataupun pilihan raya.

"Sehingga kini saya belum berminat untuk itu," jawab beliau ringkas dalam blognya ekoran laporan Harakahdaily sebelum ini.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan Asri sedang berusaha untuk menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihan raya.

Beliau juga menafikan laporan kononnya tulisan terakhir beliau: “Ulama Dimuliakan atau Disucikan“ mempunyai unsur Wahabi.

Katanya: "Sila tunjukkan ayat mana yang berunsur wahabi? Wahabi itu pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab dan saya tidak berminat dengan karya-karya beliau. Saya banyak membaca Ibn Taimiyyah, Ibn Qaiyyim, Ibn Hajar al-Asqalani dan al-Qaradawi."

Kata beliau lagi: “Dalam dunia ini kita patut jauhi segala bentuk ekstrimis termasuk yang pro Muhammad bin Abdul Wahhab atau penentangnya jika keluar dari batas kesederhanaan. Artikel “Ulama Dimuliakan atau Disucikan” itu ditulis ketika ada pihak cuba menggunakan tokoh agama untuk kepentingan politik mereka," jelasnya.

Dalam jawapannya itu juga Asri berkata, kehadirannya ke sidang Perkasa baru-baru ini bukan sebagai ahli Perkasa.

Dalam laporannya, Harakahdaily melaporkan, "Pandangan politik Dr Asri tidak diketahui kebelakangan ini. Beliau yang turut serta di perhimpunan Perkasa (gambar) pimpinan Ibrahim Ali memuji ucapan Dr Mahathir di majlis itu."

"Adapun kehadiran ke Perkasa itu telah dijelaskan kepada pemberita. Saya hadir untuk mendengar ucapan Tun Mahathir, bukan sebagai ahli Perkasa. Kebetulan pula semasa itu ada program saya di Pesta Buku PWTC," jelas Asri.

No comments:

Post a Comment