Pages

Tuesday, May 11, 2010

Piala Thomas: Jepun Tumpaskan Malaysia 3-2 Untuk Tempat Teratas Kumpulan B


KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sekalipun wujud ruang suku akhir yang mudah, Malaysia gagal menduduki tempat teratas dalam Kumpulan B selepas tewas 2-3 kepada Jepun ketika menyelesaikan peringkat kumpulan kejohanan badminton Piala Thomas, di Stadium Putra di sini hari Selasa.

Malaysia, pilihan ketiga, tewas dalam dua perlawanan perseorangan dan satu beregu menentang Jepun, pilihan keenam di kejohanan itu.

Walaupun kedua-dua pasukan telah mengesahkan tempat di suku akhir sebelum itu selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi ganjaran kemenangan 5-0 untuk Malaysia dan Jepun akibat ketidakhadiran Nigeria, perlawanan itu penting untuk menentukan tempat teratas jadual perlawanan.

Pasukan yang mendahului setiap kumpulan, China (Kumpulan A), Jepun (B), Denmark (C) dan Indonesia (D) tidak akan berdepan satu sama lain di suku akhir dengan itu mendapat laluan mudah ke separuh akhir.

Datuk Lee Chong Wei, perseorangan lelaki nombor satu dunia, mewajarkan kedudukannya, dengan mudah menundukkan bintang Jepun yang sedang meningkat, Kenichi Tago 21-12, 21-13 dalam masa 37 minit.

Kemenangan hari ini meluaskan jurang rekod Chong Wei menentang Jepun kepada 4:0 sejak menumpaskan Tago, nombor 14 dunia, pada perlawanan akhir kejohanan Seluruh England pada Mac.

Regu lelaki nombor satu dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong meluaskan jurang saingan Malaysia kepada 2-0 selepas mengalahkan nombor 13 dunia, gandingan Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto 21-13, 21-17 dalam 27 minit.

Pasukan Jepun, pilihan keenam, diketuai oleh ketua jurulatih mereka dari Korea Selatan, Park Joo Bong, berjaya meraih satu perlawanan selepas nombor 40 dunia, Sho Sasaki menumpaskan pemain lama, Wong Choong Hann, 21-17, 21-18 dalam 44 minit.

Choong Hann, bermain pada tujuh edisi Piala Thomas Cup sejak 1998, di Hong Kong, melakukan beberapa kesilapan, sama ada membuat hantaran melepasi 'baseline' atau terperangkap dengan 'drop-shot' lawan.

Regu kedua Malaysia, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif menunjukkan persembahan yang mengecewakan, dengan mudah tewas kepada Kenichi Hayakawa/Kenta Kazuno 15-21, 12-21 dalam 27 minit.

Kekalahan itu menyebabkan penonton meng'boo' mereka.

Ketika Malaysia dan Jepun terikat 2-2, perseorangan ketiga negara Mohd Hafiz Hashim gagal menghasilkan kemenangan yang begitu diharapkan bila beliau tumpas kepada Shoji Sato 10-21, 21-14, 18-21 dalam 102 minit.

Hafiz bagaimanapun menunjukkan semangat juang yang kental dan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Dalam perlawanan Kumpulan D, pasukan tidak terkenal Eropah, Denmark menduduki tempat teratas dalam jadual perlawanan, mengalahkan Jerman 4-1.

No comments:

Post a Comment