Tuesday, July 20, 2010

insyaallah kita mampu...

Rakyat Mampu Mansuhkan Akta Mesin Cetak &aPenerbitan dan Mesin Cetak

Komentar

ISU kekangan media makin panas apabila KDN enggan memberi permit kepada Suara Keadilan, lidah rasmi Parti KeADILan Rakyat. Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984, mejadi pendinding kerajaan untuk bertindak. Ianya jelas diskriminasi dan tidak adil. Tokoh Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mehu rakyat memansuhkan akta itu. Beliau mengajak mereka bangkit dan teruskan kempen memansuhkannya. Ikuti pandang sisi beliau bersama TARMIZI MOHD JAM dan INTAN ABDULLAH yang menemui beliau baru-baru ini di KL Sentral.


Apakah Pak Samad melihat sudah sampai masanya rakyat melancarkan satu lagi gerakan massa untuk menuntut mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di negara ini?

DATO' A SAMAD SAID: Memang saya fikirkan akta itu tidak perlu. Ia adalah warisan daripada pemerintah Inggeris dan kita hanya melanjutkannya sahaja. Kita mempercayai itulah sahaja cara sebaiknya untuk mendamaikan ataupun untuk mengekalkan kuasa dengan gunakna akta itu - itu tidak benar. Banyak negara lain yang tiada akta seperti itu. Cuma kita yang kononnya berbudaya masih memerlukannya. Saya fikir akta itu sama sekali tidak perlu, yang harus dibina sekarang ini... mengembalikan takhta pengadilan. Jika salah maka dihukum. Tetapi landas kehakiman itu harus bersih, jujur, luhur. Itu sebab dalam lukisan saya ditekankan semua itu.

Kini KDN menyekat Suara Keadilan dari diterbitkan. Sebelum ini mengganggu beberapa akhbar tabloid...

Kadang-kadang yang mengecohkan ini hanya satu, dua orang yang tidak berfikir tetapi difikirkan oleh orang lain. Ini masalahnya, tetapi kita harus tahu bahawa negara ini memang negara yang sulit. Kita datang daripada satu sejarah di mana kita pernah terjajah dan memang kita sedar British membawa orang Cina untuk menjayakan lombong, orang India untuk menjayakan perusahaan getah tetapi kita harus fikir dia bikin bukan untuk kita tetapi untuk bisnes mereka (penjajah). Tetapi orang-orang yang datang sudah memberikan jerih perihnya sehingga negara ini menjadi sebuah negara yang majmuk dan sekarang inilah yang kita perlu waraskan dengan sebaiknya.

Agaknya dengan akta ini, suara rakyat boleh ditutup dan pekung pemeritah dapat disembunyikan?

Kita tidak berkata orang India bersatu kalau dalam MIC itu retak-retak, pecah-pecah. Malah parti-parti India pun sudah semakin rangai begitu juga dengan parti Cina dan Umno. Sehingga ada yang tubuhkan parti Semangat 46 kemudian dimansuhkan. Ini semua permainan kuasa. Tetapi dalam permainan ini kita perlulah jujur. Itu yang saya minta kita perlu adil, kerana kuasa ini tak berapa lama - yang paling lama kalau di negara ini Tun Dr Mahathir iaitu 22 tahun. Itupun sekarang ini dia yang menjerit, dia kata, "oh! orang Melayu sekarang ini sedang terancam". Dia yang memerintah 22 tahun dan sekarang dia kata orang Melayu terancam! Apa yang dia buat sebelum ini? Kenapa tidak menyediakan landasan, ini antara yang merunsingkan saya.

Semasa bantah PPSMI, rakyat tubuh GMP, isu ISA ada GMI, kemudian judi bola ada GMJ. Jadi dalam isu kekangan media ini, adakah rakyat perlu tubuhkan gerakan massa seperti itu untuk mansuhkan akta drakonian ini?

Ya, memang perlu. Ini kerana di situlah kuasawan bertenggek lama. Kita lihat di Amerika Syarikat misalnya, sebelum Bush memang banyak akhbar. Tetapi kemudiannya di zaman Bush senior dan junior mereka sudah dicantumkan sehingga Moghul (jika tidak silap saya) hanya ada lima atau enam sahaja. Tidak banyak dan akhbar itulah yang menyembunyikan apa yang dirasakan akan membahayakan kuasawan dan mendedahkan apa yang dirasa untuk memperkokohkan kuasawan. Saya fikir ini sedang berlaku di Malaysia.

Maksudnya media jadi alat pemerintah (kuasawan) membelasah musuhnya?

Media utama (maksud saya) memang untuk memperkukuh kuasa kuasawan dan kuasawan ini terjadi daripada percantuman antara bangsawan dan niagawan. Kita telah diperintah oleh bangsawan sebenarnya, selama ini. Tiada daripada urbawan daripada bawah yang bangun. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein, Tun Abdul Razak semuanya bangsawan. Cuma Abdullah Badawi agamawan tetapi masih bangsawan. Dr Mahathirlah yang barangkali daripada golongan profesional yang agak berbeza iaitu daripada bawah. Tetapi sekarang (Najib Tun Razak) bangsawan lagi.

Jadi media bertindak sebagai pendokong mereka?

Tidakkah kita lihat sepanjang 50-60 tahun diperintah oleh bangsawan dengan bersekongkol dengan niagawan-niagawan tertentu dan kita menjerit dengan berkata kita sedang kehilangan itu dan ini. Padahal saya selalu timbulkan iaitu enam Perdana Menteri Melayu dan kita masih lagi menjerit. Apa yang dibuat oleh mereka itu kalau tidak dapat membela bangsanya sendiri? Di sinilah peranan media kuasaan mereka. Kemudian baru masuk unsur agamawan, iaitu Abdul Hadi Awang, Ustaz Nik Aziz. Sekarang ini ada imbangan tetapi itulah saya katakan kita tidak akan selamat selagi media utama itu berada di tangan kuasawan yang melulu.

Maksud Pak Samad...


Sebab kita lihat pelbagai soal yang timbul dan tenggelam oleh kerana media utama ini. Tengok soal beberapa penyelewengan kewangan daripada dulu dan walaupun angkanya tidak begitu rasmi dan jelas, ada ditimbulkan Perdana Menteri ini merugikan sekian bilion ringgit, begitu juga Perdana Menteri itu, merugikan sahaja. Tetapi itu terkadang begitu mudah ditutup. Soal pembunuhan Altantunya - meledak ditutup cepat. Begitu juga dengan isu serahan Blok L dan M, kerana yang memungkinkan, membuka, mengingatkan, adalah akhbar oposisi yang ditekan dengan alasan akhbar ini adalah akhbar yang tidak bertanggungjawab.

Benarkah akhbar oposisi tak bertanggungjawab?

Saya kira menutup hak untuk bersuara itu adalah suatu yang lebih tidak bertanggungjawab. Kalau hendak berlawan dalam boxing pun ada weightnya, ada heavy weight, middle weight, tapi ini tiada. Kita tak ada weight lah... itulah masalah kita. Belawan atad padang tak sama rata. Dia (Umno-BN) yang untung!

Terdapat dua gerakan massa yang telah berjaya merubah dasar kerajaan termasuk PPSMI dan GMJ. Bagaimana Pak Samad lihat kadar kepekaan rakyat terhadap isu mereka sekarang ini?

Menteri Kebudayaan (Rais Yatim) pun sokong judi. Ini semua kembali kepada undi. Biasanya ia terbahagi kepada dua iaitu ada yang boleh dibeli dan ada yang tidak. Saya tengok yang sedang berkembang ini adalah undi yang tidak boleh dibeli. Dalam dunia kuasa, ada yang boleh dibeli, macam ada oposisi yang melompat-lompat itu boleh dibeli. Tetapi tidak semua orang yang boleh dibeli. Kita tidak boleh menipu rakyat. Sudah tiba masanya, rakyat gerakka kempen mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini. Buat macam GMJ, GMI dan GMP dulu. Bersatu menentang akta tinggalan penjajah ini. Ia memang menyekat suara rakyat. Mengongkong... mana demokrasinya? Rakyat kena bangkit. Kesempatan itu ada pada hari ini. Rakyat banyak yang sedar...

Tapi hari ini, kuasa rakyat benar-benar dilihat keramat...

Saya fikir juga sekarang ini keadaan sedang menjadi lain. Ternampak ada sokong menyokong antara bukan Melayu dengan Melayu sendiri pun - itu terbayang. Saya tidak tahu apa akhirnya. Tetapi sudah mula ada. Sudah ada perkembangan seperti PAS sudah diterima oleh bukan Islam. Sejauh mana kita tidak tahu. Ertinya sudah ada momok-momok politik yang dahulunya sengaja diperbesar dan sekarang sudah mula ditahkik. Orang biasa, bloggers pun sekarang sudah boleh menjadi ahli parlimen.

Layarilah http://bebaskan-media.blogspot.com Blog Kumpulan AKtivis Media Independen (K.A.M.I) yang memperjuangkan kebebasan media

No comments:

Post a Comment