Semua  mereka ditahan pada kira-kira jam 9.20 pagi ketika cuba mengadakan   sidang media bagi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu dan   membantah tindakan polis menahan aktivits BERSIH di sebuah restoran di   Pekan Koboi di Alor Setar.
Antara yang ditahan ialah, Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah, Suraya Hashim; Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Gooi Hsiao Leung dan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud.
Mereka juga didakwa cuba menjual kemeja T kuning dengan logo BERSIH.
Sebelum  sidang media mereka  sempat bermula , polis terus menyerbu dan  mengheret beberapa pemimpin PKR itu yang dijadual berucap ke tepi  sehingga mencetuskan kekecohan. 
Gooi menjerit: “Beritahu kami apa dakwaannya sebelum tangkap kami.
"Ini tidak demokratik,” katanya. 
Namun, rayuannya tidak dihiraukan oleh pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Adzman yang terus mengheretnya tanpa memberitahu apa dakwaanya.
Hampir 100 anggota polis berkawal di tempat aktivis berkenaan dijadual berucap.
Amaran polis
Ketika  dihubungi Gooi berkata mereka kini ditahan Pusat Latihan Mentalon, Anak  Bukit tetapi belum dimaklumkan mengenai dakwaan yang bakal dikenakan  itu.
Katanya,  ahli PKR lain yang ditangkap termasuk Fazil Shari, K Naidu, Suraya  Hashim, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan ahli majlis Leslie  Daniel.
"Kami baru hendak mula sidang akhbar tetapi polis terus serbu. Ini amat memeranjatkan dan mengarut,” katanya.
Sementara  itu ketua polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata semua tahanan akan  disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa bersubahat  untuk mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 27 Akta Polis kerana  berhimpun secara haram.
Beliau  juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu  atau mana-mana majlis yang berkaitan BERSIH yang tidak mempunyai permit.  
"Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak untuk menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.
“Jika ada yang degil dan berkeras mahu menyertai majlis-majlis ini, berfikirlah dua kali dahulu,” tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment