Thursday, April 12, 2012

Media bebas jika Pakatan tawan Putrajaya



KUALA LUMPUR 13 April: Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media akan diberi kebebasan dalam membuat laporan jika Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya umum (PRu) akan datang.

Beliau memberi jaminan itu ketika berucap di hadapan kira-kira 2000 hadirin di program ceramah Pakatan Rakyat di Padang Rejang, Setapak Jaya semalam.

Menurutnya, pada masa ini media, terutamanya media arus perdana, terpaksa mengikut telunjuk pemerintah dalam membuat laporan, dan itu harus diubah.

“Saya ke majlis pertabalan Yang Dipertuan Agong 11 April lalu sebagai Ketua Pembangkang, tapi tak nampak pun muka di TV walau sekejap.

“Tapi selepas mengangkat sumpah (sebagai Perdana Menteri) dan umum harga minyak turun, media sendiri akan minta reaksi Najib selaku Ketua Pembangkang baru,” katanya dan disambut sorakan hadirin.

Selain kebebasan media, beliau turut menyentuh beberapa lagi jaminan Pakatan Rakyat, seperti pendidikan percuma dan gaji minima.

“Kita akan tetapkan gaji minima RM1100 pada tahun pertama memerintah, walaupun ia masih tidak mencukupi, tapi ia adalah satu permulaan yang baik,” katanya.

Anggapan pemimpin umno BN, katanya lagi, negara akan ditimpa muflis jika gaji minima RM1100 diberikan, menunjukkan mereka tidak memahami penderitaan rakyat terbawah.

“Mereka hidup kaya raya, mana mungkin faham akan kesusahan rakyat yang hidup dan tanggung keluarga dengan gaji RM800 sebulan,” kata Ketua Pembangkang itu.

Turut menyampaikan ceramah semalam adalah Ketua Cabang Setiawangsa, Ahmad Jufliz, Pengerusi Jawatankuasa Displin, Datuk Tan Kee Kwong, Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan aktivis mahasiswa Adam Adli.

Padang yang sedikit becak tidak menghalang hadirin dari terus duduk mengikuti ceramah. Gerai jualan juga dibuka di tepi padang, termasuk gerai menjual baju Asal Bukan umno dan Bersih 3.0 yang baru.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan supaya hadirin tidak putus harapan menerima berita tentang penipuan daftar pemilih yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas arahan umno BN.

Jelasnya, sentiasa ada penipuan dalam pilihan raya termasuk pada PRu ke-12, tapi ia tidak menghalang Pakatan untuk terus mara dan mencatat kemenangan.

“Jadi, saya ingin mengajak anda semua turun menyertai ‘Duduk Bantah’ 28 April ini. Kita ingatkan mereka, suara rakyat suara keramat,” katanya penuh semangat.

No comments:

Post a Comment