Arsenal di puncak liga
LONDON - Arsenal terus berada pada momentum terbaik bagi merebut trofi Liga Perdana England selepas berjaya menewaskan Bolton Wanderers 4-2 di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Jaringan lewat Andrey Arshavin mengesahkan kemenangan cukup bermakna buat Arsenal yang kini berada di tangga teratas liga buat kali pertama sejak Ogos lalu.
ARSHAVIN menjaringkan gol penting untuk membantu Arsenal memimpin kedudukan teratas liga.
Ia berjaya dicapai dalam tempoh kurang dua bulan selepas Arsenal tewas 0-3 kepada Chelsea yang ketika itu mendahului dengan kelebihan 11 mata.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, berada di tangga teratas berbanding pasukan lain pada ketika ini tidak akan melekakan anak-anak buahnya.
"Dengan kami kini berada di tangga teratas ini menunjukkan yang ia boleh berubah dengan cepat. Jadi ia dapat memperkuatkan keyakinan para pemain saya.
"Saya cukup bangga dengan pencapaian mereka kerana selepas kami tewas kepada Chelsea, ia kelihatan seperti sukar untuk kami bangkit kembali," kata Wenger.
Jelas Wenger, empat aksi genting selepas ini bertemu Aston Villa, Manchester United, Chelsea dan Liverpool bakal menentukan sejauh mana realistik cabaran mereka bagi kejuaraan musim ini.
"Empat perlawanan ini cukup penting. Kamu perlu bertarung untuk menang, sama seperti perlawanan menentang Bolton ini. Secara matematiknya empat pasukan ini lebih memberi impak pada kedudukan liga," ujarnya.
Pada aksi awal pagi semalam, Arsenal ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Gary Cahill dan penalti Matthew Taylor sebelum Tomas Rosicky merapatkan kedudukan dua minit sebelum babak pertama berakhir.
Cesc Fabregas meledak gol kedua Arsenal pada minit ke-52 untuk mengikat kedudukan sebelum jaringan Thomas Vermaelen (65) dan Arshavin (85) memastikan tiga mata penuh milik Arsenal. - Reuters
No comments:
Post a Comment