Pages

Thursday, January 21, 2010

Saat idaman Amy

PERTAMA kali berdiri di pentas Istana Budaya (IB) ketika diundang oleh pengarah terkenal Erma Fatima untuk persembahan teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan pada Mac tahun lalu telah membuka lembaran yang baru dalam hati vokalis kumpulan Search, Amy.

Terdetik di hatinya sungguh berbeza dan kagum apabila membuat persembahan di tempat yang sungguh berprestij itu.

Jika bukan kerana undangan Erma sudah tentu Amy atau nama sebenarnya Shuhaimi Abdul Rahman tidak berpeluang langsung untuk membuat persembahan di IB.

Selepas dari itu, terus dipasang impian untuk membuat satu persembahan yang unik untuk peminatnya dan juga Search.

SELEPAS dua tahun lalu mendapat lampu hijau untuk membuat konsert di Istana Budaya, baru kini Amy berkeyakinan menjayakannya.

"Saya tidak sangka saya akan buat juga satu persembahan di IB. Selama ini saya hanya dengar kehebatan orang menyanyi dan buat persembahan di IB. Alhamdullilah, kini tiba pula giliran saya," ujarnya pada sidang media Konsert Suatu Masa yang akan dipentaskan di IB pada 26 higga 28 Mac depan.

Suatu Masa yang bakal menyaksikan Amy disokong oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dalam persembahannya itu kelak, bukan sebuah persembahan biasa.

Sebaliknya, vokalis berusia 52 tahun itu akan mempersembahkan sebuah persembahan yang lari daripada landasan konsert rock yang menjadi makanannya.

Sebuah muzikal yang melambangkan transisi kehidupan Amy adalah kekuatan kepada konsert anjuran Mentari Channel Network ini.

"Suatu Masa bukan sekadar konsert, tetapi adalah sebuah muzikal yang menjadi manifesto terhadap perjalanan seni tiga dekad saya. Saya akan membawa khalayak masuk ke dalam dunia saya bermula dari tahun 80-an sehingga kini," katanya yang akan kembali mengayakan busana glam rock 80-an sehingga jubah sebagai gambaran perjalanan konsert tersebut.

Namun sebelum Suatu Masa direalisasikan, sebenarnya dalam tempoh dua tahun sebelum itu, Amy memperoleh lampu hijau untuk masuk ke IB. Cuma ketika itu dia belum mempunyai keyakinan untuk berada di pentas keramat tersebut.

Selain itu, beritahu Amy, tawaran yang diberikan tiada bezanya dengan tawaran menyanyi di persembahan pentas yang lain.

"Masa itu bila tawaran datang saya telah lontarkan idea saya tetapi tidak diterima. Saya lihat ia sama sahaja dengan persembahan saya yang sebelum ini sebab itu saya tidak terima selain tiada keberanian lagi ketika itu," tuturnya.

Bagaimanapun, tawaran yang datang daripada produksi Mentari Channel Network diterima dengan hati terbuka kerana disifatkan cukup berbeza dan unik.

"Saya inginkan suatu persembahan yang cukup berbeza yang belum pernah peminat saya rasai. Selama ini mereka sering dihiburkan di tempat terbuka seperti stadium dan kelab, tetapi kali ini mereka berhibur seperti seorang bangsawan," ungkapnya lagi.

Sambung Amy lagi, Konsert Suatu Masa merupakan saat yang diidam-idamkan selama ini. Oleh itu, dia berjanji untuk memberikan suatu pengalaman yang cukup berbeza bukan sahaja buat peminat yang hadir tetapi juga buat dirinya sendiri selaku seorang penghibur.

Amy tanpa Search


Apa yang jelas perbezaan persembahan Amy kali ini bukan sahaja terletak pada lokasi dan konsep teater yang diterapkan, tetapi juga Amy akan beraksi tanpa kelibat anggota Search yang lain.

Bukan mahu menidakkan kumpulan yang selama ini berganding susah dan senang bersamanya tetapi persembahan di IB boleh diibaratkan seolah-olah sebuah konsert solo Amy.

"Ini bukan konsert biasa tetapi itu gambaran yang mudah untuk diberikan kepada orang ramai. Saya akan menyanyikan barisan lagu dari album-album solo saya dan juga sedikit lagu dari Search kerana saya tahu orang yang minat saya pastinya minat Search juga.

"Saya tidak ketepikan Search cuma persembahan ini menceritakan sepenuhnya permulaan perjalanan saya sebagai anak seni sehingga hari ini," ucapnya anak kelahiran Johor ini lagi.

AMY dan Search bakal membuat konsert di London pada Februari ini.

Persembahan julung kali Amy ini juga dibantu oleh aktres dan pengacara terkenal, Fauziah Ahmad Daud yang bertindak sebagai Pengarah Muzikal dan Mohd. Rafi Shafie, selaku Pengarah Muzik sambil diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Menurut Mohd. Rafi yang sering bekerjasama dengan Search sebelum ini, dia telah pun membuat persediaan enam bulan lebih awal dari tarikh persembahan semata-mata ingin mendapatkan hasil yang terbaik.


"Amy seorang penyanyi yang hebat tetapi bagi mendapatkan kelainan saya telah bersedia awal. Ini bukan persembahan yang selalu Amy lakukan, selain menyanyi dia juga akan berdialog jadi bagi menyambung satu cerita ke cerita yang lain ia bukan mudah.

"Saya harus membikin lagu-lagu itu nampak seperti ada kesinambungan jika tidak ia akan nampak sama seperti persembahannya yang lain," tuturnya tentang konsert yang berdurasi selama 1 jam 45 minit itu.

Pernah bekerjasama dengan Search menerusi album Selepas Banjir, Rafi menjelaskan kebanyakan lagu yang didendangkan adalah dari album solo Amy sendiri.

"Nama pun persembahan solo, jadi kena banyak lagu solonya. Tetapi lagu Search yang ada nama-nama wanita akan dinyanyikan secara medley," katanya.

No comments:

Post a Comment